Tentang Bahasa dan Keupayaan Berbilang Bahasa


 

Gunakan Bahasa Melayu Dengan Betul

Saya pernah menulis tentang pendirian saya (dan suami) tentang penggunaan bahasa dan pendekatan yang kami gunakan untuk Isa dalam pos yang lain sebelum ini: kami menekankan penggunaan Bahasa Melayu yang baik (semi-formal, penggunaan ayat penuh dan sebagainya) serta berusaha untuk tidak mencampur-adukkan bahasa Inggeris dan Melayu dalam satu ayat.

Sememangnya memerhatikan bagaimana kanak-kanak belajar bahasa memang mengujakan. Dalam banyak aspek perkembangan anak-anak, perkembangan kemahiran berbahasa mereka adalah satu aspek yang sangat suka saya perhatikan.

Baru-baru ini saya perhatikan ada beberapa perubahan pada kemahiran berbahasa Isa… semuanya gara-gara saluran Nick Jr (yang ada dalam langganan HyppTV) yang mula menyediakan pilihan alih suara/bahasa Melayu untuk siri-siri kegemarannya. Ada masanya Isa meminta untuk menonton dalam Bahasa Inggeris dan kadang-kadang dalam Bahasa Melayu.

Ada beberapa perkara yang boleh saya kesan, mungkin sekali merupakan akibat pilihan alih suara itu:

  1. Kesan paling jelas adalah Isa sudah boleh membezakan perkataan dalam kedua-dua bahasa tersebut, e.g. ‘Clock tu jam dalam bahasa Inggeris’.
  2. Kesan lain termasuklah Isa sudah mula bertutur dalam ayat bahasa Inggeris (penuh/separa penuh), dan kadang-kadang meminta saya untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Selalu juga Isa bertanyakan maksud perkataan tertentu kepada saya.
  3. Isa juga menggunakan ayat bahasa Melayu yang hampir formal – alhamdulillah. Saya tidak risau akan hal ini. Biar lebih, asalkan jangan kurang. Kalaupun keformalan ini mungkin akan ‘cair’ apabila dia mula berinteraksi dengan lebih ramai orang, mudah-mudahan saki-bakinya masih ada. Tidak sesekali kami ketawakan keformalannya, walaupun kadang-kadang kedengaran agak janggal. Tak mengapa, kita biasakan yang betul.
  4. Kemahiran mendengar juga semakin baik. Kadang-kadang dia akan bertanya tentang apa yang didengarnya di radio. Kebelakangan ini apabila saya membaca terjemahan al Quran usai solat dan dia berada di sisi saya, dia akan bertanyakan maksud perkataan atau frasa tertentu: “‘Hikmah’ tu apa, mommy?”. Baru siang tadi, ketika kami sama-sama menasyidkan ‘Erti al-Fatihah’ Isa bertanya” Puji bagi Allah’ itu apa?’. Saya fikir kemampuannya untuk menangkap butir perkataan yang didengari meskipun tidak difahami sepenuhnya menunjukkan otaknya sedang berfungsi baik Alhamdulillah.

Saya fikir ini adalah satu perkembangan yang bagus. Saya dapat lihat usahanya untuk membina ayat bahasa Inggeris sendiri, bukan sekadar mengulang apa yang didengarinya di TV. Alhamdulillah. Kerja saya tinggal lagi membetulkan ayatnya dan menjadi rakan berbual yang baik dalam kedua-dua bahasa.

Kemudahan Alih Bahasa

Sebetulnya saya memang tidak menggemari kebanyakan rancangan kartun keluaran dalam negara, misalnya Upin & Ipin. Penggunaan bahasa yang kurang baik, butir percakapan yang tidak jelas, serta jalan cerita yang kelihatan agak kompleks (kanak-kanak seusia Isa atau yang lebih muda cuma mampu memahami jalan cerita yang ringkas). Yang paling saya tidak gemar tentulah watak Kak Ros yang sangat kasar. Hal-hal ini menyebabkan rancangan sebegini bukan pilihan di rumah kami.

Saya tidaklah merendahkan produk tempatan. Kekangan bajet tentulah tidak membenarkan kajian yang mendalam dan khusus sebagaimana yang dilakukan untuk rancangan TV Dora the Explorer misalnya. Dalam buku yang saya baca ada disebutkan bagaimana setiap episod Dora diuji terlebih dahulu kebolehfahamannya untuk kanak-kanak. Jalan cerita yang dipilih juga mengambil kira keupayaan kanak-kanak di setiap peringkat umur yang menjadi kumpulan sasaran. Pendapat pakar psikologi kanak-kanak diambil kira dalam setiap episod yang ditulis.

Saya lihat setakat ini dialog dalam rancangan yang telah dialihbahasa dari bahasa Inggeris  menggunakan bahasa Melayu yang jauh lebih baik. Sama ada di saluran Disney Jr. (Astro)  atau Nick Jr. (HyppTV) , kedua-duanya agak bagus menurut perhatian saya.

Mommy Pun Perlu Belajar Semula

Saya pernah sebutkan sebelum ini bahawa awal-awal dahulu saya membacakan buku-buku Isa dalam Bahasa Melayu, meskipun buku itu ditulis dalam Bahasa Inggeris. Saya berusaha menterjemahkan secara spontan dalam ayat yang penuh, sempurna dan formal (sehingga sekarang Isa boleh membezakan bahasa ‘buku’ dan bahasa ‘tidak formal’- kalau dibacakan buku dalam  bahasa semi-formal dia akan merungut si pembaca tidak pandai bacakan buku untuknya T.T ).

Memang bukan kerja senang. Sudah beberapa kali saya duduk termangu di depan laptop ketika cuba mengarang emel dalam Bahasa Melayu, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan setelah sekian lama. Begitu lama masa yang diambil untuk menulis sepotong ayat. Lagi-lagi apabila sudah pulang ke Malaysia pun, komunikasi di tempat kerja masih memerlukan saya berbual, menulis, berfikir, dan membentang dalam Bahasa Inggeris. Bos saya sendiri tidak pandai berbahasa Melayu.

Tapi yang senang itu tak semestinya yang betul. Anak saya Melayu, dan dia mesti tahu, faham dan fasih berbahasa Melayu. Kalau ikutkan suami, dia mahu biasakan Isa dengan loghat-loghat negeri tertentu juga (setakat sekarang cuma faham loghat Utara sahaja).

Jadi saya sendiri mesti berusaha membiasakan yang betul, mesti kembali membaca dalam Bahasa Melayu. Kembali MENULIS dalam Bahasa Melayu. Kembali meneliti struktur-struktur ayat yang saya baca, bukan sekadar ‘reverse engineering’ ayat Bahasa Inggeris. Kembali menambah kosa kata seperti yang saya lakukan ketika sekolah dahulu. Dan kena cari semula Kamus Dewan.

Alah bisa tegal biasa.

 

p.s. Sejak kembali semula ke sekolah dan bertemu rakan-rakan sekelas dari generasi yang berbeza, saya memang selalu sakit kepala dengan bahasa. Kalau menulis dalam Bahasa Inggeris, berjam-berjam perlu dibetulkan tatabahasanya. Jika mengirim SMS dalam ‘bahasa Melayu’ sepuluh minit nak tafsirkan maksudnya. Ini cerita pelajar paswasiswazah, bukan budak sekolah menengah!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s