Journey to the Past: Sinai Part 7


Kembali menyambung tulis travelog ini setelah lebih setahun meninggalkan bumi Mesir, itu bukan kerja mudah sepatutnya. Tetapi saya merasakan, sehingga saat ini, saya masih mampu kembali ke masa-masa tersebut – bukan sekadar imejan yang begitu senang untuk kembali, tetapi all the senses turut mampu diimbau- ketenangan yang saya rasakan, keterujaan saya. Alhamdulillah.

 
 

Sekadar nota tambahan: Hakimah, sahabat yang bersama-sama ke Mesir sudah menamatkan pengajiannya, kembali berkhidmat untuk Petronas. Sekarang bertugas di Dayabumi. Ustaz Luthfi, sudah berumahtangga. Seingat saya masih mengajar di Kedah, namun atas kecintaan pada bumi kinanah, masih tidak segan-segan kembali ke sana sebagai tourist guide (betulkan fakta ini jika tersilap).

 
 

Saya pernah memperihalkan pengalaman saya mendaki dalam entri pendek: A Night to Remember

This , I have to say, was the climax of my journey to the past.



*******************

Pagi-pagi itu, kami dikejutkan oleh alarm telefon tangan. Dua pagi. Di luar sayup-sayup kedengaran suara penghuni motel yang lain, maknanya, bukan kami sahaja yang akan meredah pagi yang dingin ini. Masing-masing mahu mengejar pemandangan ketika terbit matahari di puncak Jabal Musa.

 
 

Saya diam-diam berharap semoga suhu tidak terlalu sejuk, segan-segan rasanya itu menyarung baju panas – sudah puas diselubungi pakaian tebal sepanjang di UK, cukuplah selapis sahaja. Baju panas itu sebenarnya mahu sahaja saya tinggalkan di Kaherah – sejuk mana sangatlah Jabal Musa jika hendak dibandingkan dengan musim sejuk di Manchester? Tapi ustaz Luthfi dan kakak-kakak ustazah rumah Perlis tidak mahu melayan kedegilan saya, bawa sahaja satu, kalau sejuk pakai, kalau tak, tinggalkan di hotel kelak kata mereka. Saya akur sahaja, tetapi dalam hati sebenarnya mengeluh – bertambah beratlah beg saya!

 
 

Baiklah, saya mengaku, pemikiran begitu memang agak sombong, kerana pada saat saya melangkah keluar untuk ke tandas angin sejuk menerpa! There you go with your stuck-up nose!

 
 

Sejuk itu satu masalah. Satu masalah lain adalah saya kelaparan. Sangat lapar. Sepanjang hari cuma menelan ayam tawar dan nasi dan roti ish yang tidak berperisa, saya benar-benar terseksa – tapi untuk mendaki tanpa tenaga dan membiarkan perut saya yang memang sensitif jika dibiar kosong memang tidak bijak, jadi selepas bersiap saya memaksa diri untuk makan.

 
 

Makan dalam keadaan sangat teruja- membayangkan pendakian yang bakal saya tempuh beberapa minit lagi.

 
 

Benar, mungkin sahaja tempat ini bukan tempat sebenar berlakunya pertemuan antara Nabi Allah Musa a.s. Dengan Kekasih Agungnya, tetapi jika betul inilah lokasinya, maka sebenarnya saya amat bertuah kerana bakal memijak bumi yang sama yang dipijak oleh rasul mulia itu.

 
 

Jika betul telahan para ulama tentang tempat sebenarnya berlakunya perbualan tanpa hijab antara Pencipta alam semesta ini dengan seorang manusia, bukankah saya bakal dikelilingi oleh batu-batuan dan mahkluk lain yang menjadi saksi peristiwa yang menghubungkan manusia dengan Tuhannya?

 
 

Segala puji bagi Allah yang membawa saya ke sini.

Segala puji bagi Allah.

 
 

Kedua-dua musyrif kami sudah sedia di luar, sekali lagi mengingatkan kami supaya manjaga wuduk sepanjang perjalanan, untuk solat subuh di puncak sana. Mencari air bukannya mudah, dan untuk mengambil wuduk dalam batasan aurat yang terjaga sempurna di celah-celah ratusan manusia kelak tentunya mengundang susah.

 
 

Kami meninggalkan motel dalam pagi yang sunyi itu – ada satu suasana yang saya tidak mampu untuk digambarkan di sini, tetapi imej itu masih utuh dalam minda saya ketika ini, setelah hampir dua tahun. Tetapi kesunyian itu cuma sementara, di kaki Jabal Musa (saya akan menggunakan nama ini interchangeably dengan Mt Sinai), riuh-rendah seperti pesta- para pelancong yang sama teruja seperti saya.

 

Pekan kecil di kaki Jabal Musa, pada siangnya.

Pekan kecil di kaki Jabal Musa, pada siangnya.

 

 
 

Kami beratur agak lama – percaya atau tidak, kawalan sekuriti tidak kurang ketat, perlu diimbas sebelum dibenar melepasi pagar utama, sama seperti di lapangan terbang lagaknya. Kawalan anti-teroris tentunya, kerana bukan sedikit pelancong dari Israel yang jika tidak berhati-hati, mungkin menjadi tumpuan pengebom berani mati.

 
 

Kami melepasi sekuriti dengan mudah, alhamdulillah. Dan ketika kami (saya dan Hakimah secara spesifiknya) ternampak kelibat unta-unta yang ditarik orang-orang Badwi keinginan untuk menunggang unta yang belum disempurnakan datang kembali.

 
 

‘Ustaz, kalau naik unta mahal ke?’

‘Nak naik unta ke?’ Ustaz Luthfi bertanya dalam nada yang seingat saya boleh diterjemahkan begini: ‘Laa..budak-budak ni nak naik unta ke rupanya.. tak terfikir aku’

 
 

Sengih.

 
 

‘Kalau tak naik sekarang boleh naik kat tempat lain?’

 
 

Hakimah pernah menyuarakan hasrat untuk menunggang unta ketika mengunjungi Giza, tetapi ustaz tidak begitu menyokong (dan saya juga sebenarnya -menunggang di bawah panas terik tentunya bukan idea menarik!), tetapi sekarang ini saya juga tidak terkecuali dari mempunyai keinginan yang sama.

 
 

‘Tunggu sekejap ana pergi tanyakan harga.’

 
 

Ustaz Luthfi, dengan kefasihan bahasa arabnya memang saya kagumi – kembali, dan menggelengkan kepala.

 
 

‘Arab ni cekik darah, dia letak harga 100 genih (100 junaih i.e. Pound Mesir) kita cuba yang lain dulu.’

 
 

Memang sebenarnya saya malas mahu berkira dengan harga. Kalau 100 genih sekalipun jika ditukar baru sekitar £10, dan itu sebenarnya sangat murah – menunggang kuda di UK untuk satu jam tentunya lebih mahal daripada itu, tetapi saya setuju sahaja dengan perkiraan Ustaz.

 
 

Sabar itu lebih utama, unta bukan cuma seekor!

 
 

Dan kesabaran itu memang berbaloi, unta pertama dan kedua berjaya ditawar dengan harga 50 genih – dan Hakimah senang hati mendahulukan saya dan Aswani (kamu memang beramal dengan konsep al-‘ithar kan, Hakimah?).

 

‘Baik-baik, Arab tu nanti dia akan dukung enti untuk duduk atas unta.’ Ustaz Luthfi memberitahu.

 
 

Oh, sesungguhnya saya tidaklah merasakan itu satu masalah besar, tetapi untuk diangkat menaiki unta di hadapan dua orang ustaz memang boleh mengundang segan. Saya fikir, I’ll try to do it myself then!

 

Unta dan saya, dari belakang.
Unta dan saya, dari belakang.

 

 

Seekor unta, malangnya, walaupun sudah elok duduk menanti penunggang, masih lagi tinggi melebihi paras dada saya. Tak pasti kedegilan atau apa sebenarnya, saya senang-senang hati menunjukkan kefleksibelan kaki saya (terima kasih kepada latihan tae kwan do di sekolah dahulu) dan memanjat sendiri ke belakang unta – walaupun sudahnya kaki saya tersilap urat akibat regangan tanpa warm-up itu!

 
 

Hakimah sempat merakam gambar saya semasa menunggang, dan inilah hasilnya – Saya dan Unta!

 
 

Saya dan unta - Itu aksi ketika belum stabil OK?

 
 

Unta ketiga untuk Hakimah berjaya ditawar tidak lama selepas itu. Aswani di hadapan saya, elok bersila di atas unta, saya di tengah-tengah, dan Hakimah agak jauh di belakang. Ustaz Luthfi dan Ustaz Karim berjalan di belakang, sekali-sekali di tengah kegelapan itu, yang samar-samar diterangi suluhan lampu picit para pelancong lain, saya terdengar suara mereka.

 
 

Kata ustaz, perjalanan ke puncak melalui lereng-lereng yang siap terbina, jauhnya sekitar 7km.

 
 

Kalaulah jarak itu benar, maka sepanjang 7km itu, selama hampir dua jam itu, saya ditemani oleh diri sendiri, dan air mata.

 
 

Ya, air mata saya tumpah saat mengenangkan kisah Nabi Musa a.s. Betapa tulinya saya untuk tidak pernah mahu mengerti betapa signifikannya kisah Rasul Allah ini. Tidak ada satu perkataan pun dalam al Quran yang tidak mempunyai makna, apatah lagi kisah seorang Rasul yang bukan sekali disebut dalam buku agung itu. Dan saya, sebagai seorang yang mengaku beramal dengan al Quran, seharusnya mampu mengorek teladan daripada sesuatu yang sebegitu penting.

 
 

Tiga kali (mengikut ahli sejarah dan para ulama’) Rasul Allah Musa a.s dikhabarkan berada di Jabal Musa ini. Kali pertama, ketika melarikan diri ke Madyan – ketika sarat dengan ketakutan akibat terbunuh seorang lelaki Qibti.

 
 

Kedua, ketika dalam perjalanan kembali ke Mesir, setelah lapan atau sepuluh tahun di Madyan – seperti yang disebut di dalam al Quran, tatkala baginda melihat pancaran api di kaki bukit ini:

 
 

(8) Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?

(9) Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.

(10) Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: Wahai Musa!

(11) Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.

(12) Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.

(13) Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

(14)Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan.

(15) Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.

(16) Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?

(17)Nabi Musa menjawab: Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu.

(18) Allah Taala berfirman: Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!

(19) Lalu dia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar

(20) Allah berfirman: Tangkaplah akan dia dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.

 (21) Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.

 (22) (Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.

 (23) Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.

 

Surah Ta Ha mengisahkan sebegitu tentang bicara Saidina Musa a.s. Satu riwayat dalam kitab Makarim al-Akhlaq yang saya tekuni menyebut bahawa daripada Abu Sulaiman Ad Darini, katanya, Allah s.w.t melihat kepada hati-hati manusia keseluruhannya dan Dia tidak mendapati hati yang dipenuhi dengan rasa rendah diri melebihi hati yang dimiliki oleh Saidina Musa a.s., sehinggakan Dia berkenan untuk berbicara terus dengan hambaNya itu.

 
 

Ya, saya memang masih terkesan dengan kisah yang saya tekuni sepanjang perjalanan merentasi padang pasir siang tadi. Nabi Musa a.s, dengan rasa kekhuatiran akan beban berat yang baru diterimanya, lantas berdoa dengan penuh rendah hati:

 
 

(24) Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

 

(25) Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

 
  

(26) Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

 
  

27) Supaya mereka faham perkataanku;

 
  

(28) Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.

 
  

(29) Iaitu Harun saudaraku;

 
  

(30) Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,

 
  

(31) Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,

 
  

(32) Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,

 
  

(33) Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; (34)Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.

 

Dan betapa aneh saya, kerap juga mengulang-ngulang doa yang sama tanpa ada sekelumit pun rasa ingin tahu akan beratnya tanggungan pengucap pertama doa tersebut – bakal mengadap seorang penguasa, yang bukan sahaja merupakan bapa angkatnya, tetapi juga seorang raja yang mengaku tuhan yang menghidup dan mematikan!

 
 

Kali ketiga adalah ketika Saidina Musa a.s dijemput bermunajat di puncak Jabal Musa, 40 hari lamanya seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah, meninggalkan kaumnya di kaki gunung bersama saudaranya Nabi Harun a.s. Dan kesabaran yang setinggi manakah yang dimiliki oleh Rasul Allah ini, apabila selesai munajatnya hanya untuk menyaksikan bahawa kaumnya sudah berpaling daripada mentauhidkan Allah?

 
 

Hanya 40 hari yang diperlukan oleh Bani Israel untuk melupakan ajaran Nabinya, lantas menyembah lembu.

 
 

Hanya 40 hari yang diperlukan untuk melupakan bahawa hanya Allah semata-mata yang layak disembah, meskipun dengan pertolongan Allahlah mereka berjaya melepaskan diri daripada derita sebagai kaum yang tertindas.

 
 

Al Quran dalam surah al Baqarah mengingatkan, bahawa berpaling daripada Allah bukan sahaja menjemput azab di akhirat kelak, tetapi di dunia lagi kehidupan akan bakal terhimpit. Tentunya kisah Bani Israel ini bukan sekadar ceritera biasa – amaran implisitnya barangkali berbunyi begini: jika saya (ya, saya adalah orang yang plaing harus diperingat sekarang ini) memilih untuk beriman dengan sebahagian daripada Kitab Allah dan meninggalkan sebahagian yang lain, tunggu sahaja murka Allah.

 
 

**

 
 

Unta yang saya tunggangi dibiar berjalan sendiri. Tuan unta, si Arab Badwi yang tadinya berbual dengan saya (dalam bahasa Inggeris, mind you!) sudah hilang entah ke mana, meninggalkan unta saya (yang malangnya telah saya lupai nama kebaratannya)mengekori unta Aswani di hadapan. Aswani saya lihat elok bersila di atas unta, sedang saya masih berusaha mencari posisi selesa – terima kasih atas usaha untuk mengelakkan diri daripada didukung, kini kaki saya terseliuh sedikit!

 
 

Lebar jalan menuju ke puncak yang tidak seberapa, seingat saya hanya sekitar 3-5 meter menyebabkan kerap kali juga saya berasa agak tidak selesa – kaki saya betul-betul separas kepala pendaki lain yang berjalan kaki. Acap kali juga jantung saya berdegup kencang -unta saya mungkin sekali mengantuk, hampir beberapa kali tergelincir. Mengenangkan cerun bukit yang hanyalah kurang sekaki jaraknya dari tapak kaki unta itu, saya cuma mampu mengucap panjang.

 
 

Ustaz Luthfi berpesan awal-awal lagi, unta akan berhenti sebelum sampai ke puncak (kerana pendakian seterusnya berupa anak-anak tangga), dan jika sudah berhenti kelak terus sahaja bersolat Subuh, dan tunggu mereka (Ustaz Luthfi dan Ustaz Karim) untuk sama-sama bergerak.

 

Unta yang sudah menyelesaikan tugasan.

Unta yang sudah menyelesaikan tugasan.

 
  

Unta-unta kesemuanya berhenti di suatu tempat – berhampiran kedai menjual teh (ya, kegilaan orang Arab minum teh seperti minum air masak tidak terputus walau di puncak bukit!) yang barangkali memang sengaja disediakan tempat kosong untuk pengunjung bersolat. Kami menanti ustaz-ustaz mushrif kami, yang tentunya tiba lebih lambat sedikit – berjalan kaki sudah pastilah lebih perlahan, dan memenatkan.

 
 

Jika anda tertanya-tanya kenapa pendaki memilih awal pagi untuk memulakan perjalanan ke puncak, ini jawapannya – satu, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan keindahan suasana ketika matahati muncul dari kemuncak gunung ini, dan keduanya, tidak ada yang sanggup berpanas di bawah terik mentari Sub-sahara 2-3 jam lamanya.

 
 

Ustaz-ustaz tiba ketika kami bertiga selamat mengerjakan solat subuh. Hanya ketika saya melintasi kedai terakhir sebelum memanjat anak-anak tangga menuju ke puncak Jabal Musa barulah saya menyedari yang jam tangan saya, yang saya gunakan sejak tingkatan empat hilang dari pergelangan tangan.

 
 

Enam tahun jam itu berada pergelangan tangan saya (saya setia dengan satu barang biasanya, tidak bertukar-tukar jika tiada masalah), hari ini tiba-tiba hilang dari pandangan, saya terasa sedikit sedih.

 
 

Tetapi apabila ustaz mula bertanya kalau-kalau saya boleh mengagak di mana jatuhnya jam tersebut, saya cuma menggelengkan kepala: sudah tertulis sampai di sini sahaja jam tersebut berkhidmat – dan jika hilang pun, di tempat yang penuh berkat!

 
 

Walaupun puncaknya sudah kelihatan, untuk tiba di sana tidak semudah yang dijangkakan. Saya memanjat anak tangga yang disusun menggunakan batu-batu bukit – tentunya tidak seselamat mana jika sistem Analisa Risiko seketat sistem di UK – tersilap langkah bukan setakat terseliuh, barangkali boleh juga hilang nyawa.

 

Saya sedang mendaki. Memanjat ke atas sebenarnya jauh lebih mudah!

Saya sedang mendaki. Memanjat ke atas sebenarnya jauh lebih mudah!

 

 
 

Dan saya, walaupun sudah diingatkan berkali-kali untuk meninggalkan ‘summer shoes’ kegemaran saya, digantikan dengan kasut sukan untuk ekspedisi kali ini, masih berdegil – sayang benar mahu meninggalkan sandal Clarks tersebut di Kaherah, satunya kerana saya bimbang tidak selesa sepanjang perjalanan dengan kasut orang lain, dan kedua, saya mahu sandal itu bukan sekadar sepasang sandal biasa, tetapi sandal penuh nilai sentimental!

 
 

Gara-gara berlama ketika solat subuh di perhentian terakhir untuk pengunjung yang berkenderaan (unta tentunya), kami terlepas peluang menyaksikan mentari menyuakan muka di puncak Jabal Musa, tetapi tiada bezanya – di atas sana, kata ustaz, lebih sesak keadaannya, sedang kami betul-betul berada di pertengahan pendakian tahap terakhir yang sunyi, melainkan beberapa individu lain yang terlambat seperti kami, tetapi tentunya memberikan lebih peluang untuk saya bertafakur dengan tenang.

 
 

Dan foto yang saya rakamkan ketika di situ, salin tidak tumpah dengan foto yang saya temui dalam Lonely Planet yang saya angkut pulang daripada Manchester City Library! Masha Allah! Saya dan Hakimah melangsaikan rutin membaca Ma’thurat di situ, menatap keindahan alam dari puncak (OK, almost at the peak), sambil berharap semoga masa dapat membeku dan saya tidak perlu pulang ke Manchester.

 

Syuruk di Jabal Musa. Just like the one in my travel guide!

Syuruk di Jabal Musa. Just like the one in my travel guide!

 

 
 

Matahari sudah mucul sepenuhnya, dan, surprisingly dalam masa beberapa minit, manusia yang tadinya berpusu-pusu ke puncak, kini bergegas turun. Berduyun-duyun.

 
 

‘Kenapa turun cepat sangat?’

 
 

‘Sebab memang dia orang naik untuk tengok matahari terbit.’

 
 

Dan kerana memang ramai yang mempunyai tujuan yang sama (naik ke puncak semata-mata untuk menatap matahari terbit), maka ustaz menyarankan agar kami diam sahaja di tempat kami sekarang, sehingga arus manusia yang turun kurang deras. Saya memang senang sekali memerhati manusia, dan untuk bertukar senyum seadanya bukan perkara sukar.

 

Mentari di ufuk timur. The wallpaper for my handphone for a few months.

Mentari di ufuk timur. The wallpaper for my handphone for a few months.

 

 
 

Saya sebenarnya sudah lapar, tetapi terpaksa bersabar (lapar memang bukan masalah besar, jika tidak kerana perut saya yang senang ‘masuk angin’ jika dibiar kosong lama-lama) – manusia masih turun berbondong-bodong, menyebabkan saya terfikir, seluas manakah sebenarnya puncak Jabal Musa sehingga boleh memuatkan manusia seramai ini?

 

Manusia berbondong-bondong.

Manusia berbondong-bondong.

 

Kami terus memanjat lagi beberapa (ratus) anak tangga, sekali-sekala berselisih dengan keldai pembawa barang-barang jualan Arab Badwi (ya, di atas sana mereka masih berjual-beli), dan akhirnya sampai ke puncak.

 
 

Alhamdulillah.

 
 

Masih ramai yang berehat-rehat di puncak, selimut-selimut penahan sejuk untuk mereka yang tiba awal pagi di puncak masih bersepah-sepah; selimut disewakan oleh peniaga Arab kepada para pengunjung yang berlama-lama di puncak untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan.

 
 

Dan jika anda ke sana, jangan terkejut dengan Arab Badwi yang tidak tahu menulis dan membaca, tetapi boleh bertutur pelbagai bahasa! Bukan sekadar boleh berbahasa Inggeris, tetapi juga Perancis dan lain-lainnya.

 
 

Yang ada di atas puncak sebenarnya tidak banyak yang istimewa – ada gereja, seperti biasa (kerana kata ustaz, setiap tempat bersejarah dalam Islam, pasti ada gereja kecil di sisi), juga ada mihrab yang dikatakan tempat munajat Saidina Musa a.s. sepanjang khalwat baginda. Sama ada anda mahu percaya atau tidak itu terpulang, tetapi saya cukup kesal – persekitarannya kotor dan tidak dijaga rapi.

 

Gereja kecik di puncak Jabal Musa. Ketika kami tiba ada seorang paderi sedang bercerita kepada sekumpulan pelancong.

Gereja kecil di puncak Jabal Musa. Ketika kami tiba ada seorang paderi sedang bercerita kepada sekumpulan pelancong.

Yang dikatakan mihrab tempat bermunajat Saidina Musa a.s. itu, inilah.

Yang dikatakan mihrab tempat bermunajat Saidina Musa a.s. itu, inilah.

 

 
 

Ustaz mencari tempat kosong di sudut ruang lapang, yang tadinya dipenuhi orang ramai – langsung mengeluarkan sarapan kami pada pagi itu: roti dan jem. Sungguh, ini bukan sarapan biasa saya (ya, saya sudah hampir tiga tahun di UK tetapi sarapan saya masih lagi nasi – nasi lebihan semalam selalunya!), tetapi di tengah padang pasir rasanya memang patut bersyukur dengan apa yang ada.

 

Breakfast at Tiffany's...oh no, it is St Catherine's.

Breakfast at Tiffany's...oh no, it is St Catherine's.

 

Perjalanan semalam mengingatkan saya bahawa bermusafir itu, pada zaman tanpa kereta, sebenarnya merupakan ujian besar, ujian penyerahan sepenuhnya kepada Tuhan. Musafir di padang pasir bukan seperti bermusafir merentasi Lebuh Raya Utara-Selatan – kalau lapar berhenti sahaja di R&R di pinggir jalan. Berjaulah merentas padang pasir bererti menghadapi risiko bekalan makanan yang terhad (and this is still valid currently, kerana itulah ustaz membeli sekarton air mineral), juga keselamatan yang tidak terjamin. Sebab itu fikir saya, doa seorang yang sedang bermusafir mustajab – individu tersebut berada dalam penyerahan sepenuhnya kepada Allah.

 
 

(sambung lagi nanti…inshaAllah)

Advertisements

5 comments

  1. Rindu Ardhu al-Kinaanah itu! isk.
    Rindu juga saat bersama-samamu Afni ketika di bumi sana! huu.

  2. Eh, topi tuuu…. macam kenal…. ia sekarang berada di rumah Hakimah… huhu…

    “Aswani elok bersila di atas unta?” Hehe..nampak je elok, cik Afni.. tapi sebenarnya tersengguk-sengguk mengantuk tahap gaban. Sangat berpotensi untuk jatuh dari unta dan juga dari lereng bukit tu.. mengerikan…~ tak dapat bayangkan kalau betul terjatuh dari unta tu… ! T_T

  3. @ Coy,
    Bagus secara lahiriah semata 😀

    Kimah,
    Sangat rindu.

    Kak dila,
    Memang senang untuk jatuh cinta dengan Mesir. Tak tahu kenapa.

    Wani,
    Ye ke? Hakimah mana?
    Memang elok je tengok dari belakang. Mana ada orang bersila atas unta in the first place. Wani siap bersila dan tidur sekali..kira mantapla tu.

    Takut tu la aku sampai takleh nak terlelap.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s