Di Mana Meriahnya Ramadhan dan Eid?



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Saya merasakan kemampuan saya untuk bertutur dan menulis sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia tanpa dicelah bahasa Inggeris semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini. Jadi saya fikir ada eloknya saya menulis kembali dalam bahasa ini walaupun kalau boleh saya mahu blog ini menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Tak disangka, 15 minggu sebenarnya berlalu sangat pantas – tak sempat saya menamatkan 15 buku seperti yang dijadualkan, menulis pun tidak sempat (dan idea tidak datang dalam cuaca panas-kering ini rupanya) ! Tak apa, yang penting cuti musim panas kali ini rasa-rasanya lebih baik berbanding cuti musim panas dua tahun lalu: daripada 15 minggu itu, sekurang-kurangnya 5 minggu saya habiskan di luar rumah untuk berprogram dan aktiviti ziarah, saya sempat meluangkan masa untuk sepupu-sepupu saya – cuma sedikit ralat tidak berkesempatan ke Pantai Timur dan bertandang ke rumah sahabat saya, Hanee, di Batu Pahat. Pecahan yang boleh diterima fikir saya – mengambil kira fakta bahawa saya sudah tidak bertemu orang tua selama dua tahun, maka seharusnya 2/3 cuti itu diperuntukkan untuk emak dan ayah. Itupun emak saya masih mengomel – cepat benar cuti berlalu, dan saya seakan tidak lekat lama di rumah!

Ramadhan datang bertamu ketika saya masih di Malaysia. Jujurnya saya tidak kisah di mana saya berpuasa, atau di mana saya beraya. Ramai yang bersimpati dengan saya kerana tidak sempat menyambut ‘Idul Fitri di tanah air untuk ke sekian kalinya, terima kasih, tapi saya sendiri tidak berasa sedih. ‘Idul Fitri memang hari kebesaran kita umat Islam, dan kita seharusnya bergembira, tetapi yang lebih penting adalah makna perayaan itu sendiri – adakah meriah bersama sanak-saudara itu lebih penting berbanding mencapai maksud ‘Idul Fitri itu sendiri? Idul Fitri disambut sebagai meraikan kembalinya kita kepada fitrah setelah sebulan menjalani latihan, madrasah (atau apa-apa terma yang selayaknya), dan jika setelah tamat sebulan saya masih lagi berlumut perangai-perangai yang tidak elok, ibadah pun belum cukup sempurna, maka apa yang perlu saya rayakan?

Saya terkesan dengan peringatan yang diberikan Ustaz Zaharudin tentang kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan dalam bulan Ramadhan ini, salah-satunya adalah seperti berikut:

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat”. (Riwayat al-Bukhari)

Meriah itu penting sangatkah? Saya sangat muak melihat iklan-iklan di akhbar – perabot raya, barang kemas raya, baju raya (ini biasalah), macam-macam raya lagi. Penat betul saya.

Tadi saya membaca keluhan seorang peniaga di bazaar Ramadhan Teluk Queen, Pulau Pinang. Katanya kali ini bazaar Ramadhan tidak begitu meriah, dan rezeki hasil jualannya pun berkurangan. Saya bersimpati dengannya. Tetapi mengenangkan keadaan di pasar Ramadhan yang saya kunjungi kelmarin, saya rasa ada eloknya perkara-perkara sebegini menjadi kurang meriah.Ditambah dengan kos hidup yang meningkat, ada bagusnya orang ramai berkira-kira untuk membeli juadah berbuka secara berpada-pada. Pasar Ramadhan berhampiran Stadium negeri itu memang besar, dan mujurlah saya (juga emak dan ayah) tiba sebelum tamatnya waktu pejabat, tetapi saya tidak betah berlama-lama – rimas! Banyaknya makanan yang dijual, sehinggakan kalau dijamu seluruh rakyat Perlis pun cukup!

Saya lebih senang hati dengan program-program sempena Ramadhan di televisyen. Lebih banyak program ilmiah berbanding program masak-memasak sempena Ramadhan dibandingkan dengan lima-sepuluh tahun lalu (berdasarkan pemerhatian sayalah). TV9 bagus pada saya, dan sekarang sudah wujud ASTRO Oasis. OKlah, bukan semua program di Oasis itu menarik, tetapi sekurang-kurangnya kewujudan saluran Islamik seperti itu menunjukkan adanya permintaan terhadap program-program yang lebih sejuk mata menonton. Yang paling menarik tentunya rancangan Jejak Rasul di TV3 yang berjaulah mengekori langkah Ibnu Battutah, penulis travelog paling saya gemari itu!

Dan dengan definisi meriah yang penuh kelam-kabut di Malaysia ini, saya kadang-kadang lebih rindu dengan sambutan Ramadhan di Manchester – malam menjelang Ramadhan, kalau berjalan-jalan di sepanjang The Curry Mile i.e. Rusholme, saya akan disapa mesra ‘Ramadhan Kareem’, berbuka puasa yang seadanya di Sackville Prayer Room, atau ketika mula-mula dahulu di St. Ambrose Prayer Room – nasi (ala-ala nasi bukhari) dihidang dalam dulang, dijamah bersama sahabat muslim berlainan warna kulit, lebih terasa kebersamaan. Lebih terasa kesatuan.

Teringat kisah Ustaz Lutfi yang menunjuk jalan sepanjang saya berada di Mesir, tentang perangai orang-orang Mesir yang berubah drastik menjelang Ramadhan – lebih pemaaf, bertambah-tambah pemurah – saya rasa itu definisi perbezaan sepanjang Ramadhan yang lebih dituntut Nabi s.a.w.

Dan ‘Idul Fitri, tidak hilang serinya jika tidak bersama keluarga. Dan saya sendiri, tiga kali berhari raya di dalam makmal tidak pernah menyebabkan saya menitiskan air mata mengenangkan seronoknya jika berada di samping keluarga, kerana pada saya, jika Eid, dan Ramadhan itu ertinya pada meriah bersama sanak-saudara, maka tentulah tidak akan berlaku Perang Badar al Kubra pada 17 Ramadhan dahulu. Kalau niai Eid itu sebagaimana kita dalam mood festival selama sebulan (‘puasa sebulan, raya pun sebulan’), tentulah tiada juga Perang Uhud, Ghazwah Bani Salim, Ghazwah Bani Nadhir, juga Ghazwah Bani Qainuqa’!

Advertisements

7 comments

  1. Salam,

    Wah, agak janggal membaca entri ukhti kali ini.

    Memang betul, jika ramadan dan ied. itu dinilai hanya pada kemeriahan maka sebenarnya kita telah memilih jalan-jalan orang Nasrani. Mereka meraikan hari krismas dengan bergembira tanpa langsung ada nilai ibadah di dalamnya.

    Inilah menyebabkan eid. itu jadi hambar buat si miskin dan si anak yatim. Walhal harta dan sanak-saudara itu bukan faktor utama eid.

    Ramadhan Kareem..

  2. Kak,

    setuju. Puasa di perantauan yang iftarnya ala kadar tetapi motivasi untuk beribadat berganda adalah antara perkara yang membuatkan aku sayang nak tinggalkan US =)

  3. MS Rizal,

    Janggal itu harap-harapnya bukan kerana bahasa yang tidak berapa sedap dibaca.

    Betul, bukan setakat tiada nilai ibadah, kadang-kadang kenapa Krismas itu disambut pun mereka tak pasti. Semoga tidak akan sampai satu masa Muslim menyambut Eid tanpa menyedari kenapa perayaan itu wujud.

    Haz,

    Betul. Kadang-kadang di tempat Islam itu hanya minoriti, keIslaman tu lagi terasa.

    Yalah tu, ko sayang nak tinggal sebab ada yang lain, kan?

  4. Salam afni..

    pe khaba?

    "Ramai yang bersimpati dengan saya kerana tidak sempat menyambut 'Idul Fitri di tanah air untuk ke sekian kalinya, terima kasih, tapi saya sendiri tidak berasa sedih."

    huhu…absolutely agree…i rather celebrate ramadhan n eid here too :p..for some reasons…somehow bila posa n raya outside malaysia, kita seperti diberi 'ruang' yg mungkin tak dpt dilihat bila dikelilingi dgn 'kemeriahan'ramadan n raya di Malaysia ..'ruang' utk menghargai,menghayati & memahami erti ramadan n eid yg sebenar (hopefully we achieve the real meaning of it)..and for that, kita cuba buat yg terbaik dlm bulan puasa ni…

    ramadan kareem!~

    šŸ˜€

  5. wsalam nida,

    sihat alhamdulillah (dan makin gemuk!)

    melihat sesuatu dari sudut yang berbeza.. memang itu kebaikan utama dihantar jauh dari Malaysia.

    That is always the biggest advantage.

  6. salam afni
    sangat betull
    thinking this year wud be my last puasa and raya here in new zealand, makes me even sadder
    how i wish i could stay for longer
    hihi
    tapi hujung taun da kene balik
    so kene la balik
    tapi alhamdulillah sangat2
    dapat la rasa puasa kali ke 4 dan insyaAllah raya kali 4 kat cni
    seronok bila time bukak pose kat masjid sini menggunakan talam beramai2
    seronok bila dapat memanfaatkan waktu malam sepenuhnya,especially 10 malam terakhir
    kalau kat malaysia sure kepenatan membuat persiapan raye such as mengemas dan mencuci segale bende yang ade..dan mcm2 preparation la lagi
    seronok time denga khutbah raya dan solat raya satu saf dengan orang yg berbagai2 warna kulit dari seluruh dunia, dan mengucapkan idul fitri dengan gaya yang berbeza2
    banyak la lagi sebenarnya =)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s