Filem Tandus Agama?


Baru saya perasan, di TV1 sekarang ini sudah banyak diskusi ilmiah, sekurang-kurangnya berbanding dua tahun lepas ketika saya pulang kali terakhir untuk cuti musim panas. Ketika rakyat mula ‘naik minyak’ ekoran harga minyak yang meningkat tinggi, kerajaan mengambil langkah menjelaskan sebab-musabab tindakan itu diambil melalui rancangan-rancangan sebegini. Baru dua hari lepas saya menonton forum yang melibatkan Datuk Shahrir Samad (yang semakin kerap muncul akhir-akhir ini) dan wakil pengusaha pam minyak serta AirAsia – dua entiti yang terkesan banyak akibat kenaikan harga bahan api yang mendadak.

Dan malam tadi, saya menonton Fenomena Seni, diskusi yang dipengerusikan oleh Rosyam Nor (yang entah kenapa saya rasa kurang profesional), dihadiri Prof A.Razak Mohaideen, Bade Hj. Azmi, juga Faisal Tehrani. Ketawa juga saya melihat Faisal Tehrani di situ. Teringat saya tuduhan yang dilemparkan oleh produser filem tersebut gara-gara komen ‘keras’nya terhadap filem ‘Akhirat’ – akibat entri di blognya itulah kutipan tayangan filem tersebut di Kuala Lumpur berkurangan. Hanya kerana satu entri? Tak masuk akal.

Katanya, atas kritikan tersebut juga, filem yang kini mengumpul kutipan sebanyak RM2 juta ini kurang mendapat sambutan di pawagam sekitar Kuala Lumpur.

Tidak tahu di mana salahnya, beliau menganggap salah satu penyebabnya adalah kerana kritikan negatif tersebut maka khalayak tidak mahu menanggung risiko untuk menonton filem yang dilakonkan oleh pelakon hebat dan terkenal Vanidah Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda, Adi Putra, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin dan ramai lagi.

Walaubagaimanapun, beliau berpuas hati dengan kutipan di tempat lain seperti Ipoh, Perak, Melaka dan Johor yang selalu ‘full house’.

Bukan di tiga negeri itu sahaja, penonton di negara luar seperti Brunei juga menerima dan memuji filem tersebut.

Kini, orang ramai masih berpeluang menonton filem Akhirat yang ditayangkan di enam buah panggung termasuk tiga buah panggung di Kuala Lumpur dengan dua hingga tiga ‘show’ sehari.

“Kalau di kampung, mungkin tidak ramai yang berpeluang untuk membaca kritikan yang tersebar di internet itu.

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_18b9330d-c0a85062-1831d180-acc58e3c

Beginilah. Saya cuba melihat realiti masyarakat melalui diskusi ini. Melihat seorang professor, juga seorang penulis skrip yang melihat unsur agama itu sudah dipaparkan dalam kebanyakan filem Melayu – ucapan salam ketika mengangkat telefon kata mereka, hukum karma – yang baik dibalas baik yang jahat dibalas jahat jua merupakan dakwah.

Betulkah?

Saya mesti bersetuju , sekali lagi, dengan RPK bahawa Muslim di Malaysia tidak lebih daripada sekadar pengamal ritual. Islam itu, bagi saudara-saudara kita ini, adalah sekadar salam, solat, puasa serta perkara-perkara yang nampak lagi zahir. Rungutan Bade Hj Azmi bahawa tiada jihad dan pengorbanan daripada produser untuk melabur dalam filem-filem berunsur agama ini adalah manifestasi masalah ‘‘form’ over ‘substance” (Tak salahkan mereka juga, subjek ‘jihad’ dalam erti kata sebenar mana ada dalam silibus Pendidikan Islam di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam Fakulti Pengajian Media di UITM). Semua adalah Islam, tetapi berapa ramai yang yakin betul bahawa akhirat itu, seperti dalam surah Ad-Dhuha – ‘ Wa lal aakhiratu khairul laka minal uula’ , lebih baik daripada habuan dunia?

Dan hukum karma yang disebut-sebut oleh Prof. itu sangat menyesakkan dada. Saya belajar bahawa karma itu bukan konsep Islam. Yang baik memang akan dibalas baik, yang buruk memang akan dibalas buruk, tetapi tidak semestinya di dunia. Dunia ini memang tidak selalunya adil, kerana itu Allah s.w.t menciptakan akhirat (bukan filem ‘Akhirat’) supaya pengadilan yang sebenarnya dapat dijalankan. Kita sering mengharapkan karma itu berlaku – barangkali kerana kerap benar disogokkan dengan pengakhiran seperti itu dalam filem-filem yang ditonton- sehingga kadang-kadang muncul soalan seperti ‘Mengapa orang yang bersolat itu pun sering ditimpa kesusahan?’ dan ‘Kenapa orang yang menderhakai Allah tetap hidup senang-lenang sedang orang Islam hidup melarat?’.

Faisal Tehrani mencadangkan supaya institusi yang melahirkan penggiat filem turut mengajar subjek agama – dipintas kemudiannya oleh Prof. bahawa di UITM subjek itu memang sudah diajar, malah menjadi subjek wajib untuk ditekuni. Ya, kalau mengikut sistem, sudah tentulah tiada masalah sosial, tiada masalah murtad, tiada juga masalah rasuah kerana semuanya sudah diajar awal-awal lagi, mungkin seawal sekolah rendah, bahawa semua itu bersalahan dengan nilai yang ditetapkan oleh agama. Tetapi sistem adalah sistem. Sekadar ada tetapi belum tentu berkesan apa gunanya- dan keputusan survey yang dipaparkan pada hujung rancangan membenarkan hal ini: faktor utama tiada filem berunsur agama dihasilkan adalah kerana kurangnya ilmu.

Dan saya juga memahami logiknya alasan yang diberi – memang ramai yang merungut tentang filem Malaysia yang ketandusan agama, tetapi jika satu filem yang cukup sempurna dari sisi itu dibikin adakah mereka ini akan turun ke panggung, membeli tiket dan menonton untuk memberi sokongan? Atau lebih senang menunggu edisi VCD (yang tidak menguntungkan produser) atau tayangan pada Aidilfitri? Kerana membikin filem juga adalah perniagaan, saya fikir ini adalah rungutan yang valid. Yalah, sanggupkah sahabat-sahabat yang berkopiah, bertudung labuh berusrah pergi menonton wayang untuk menyokong pengusaha filem agama, membantu memberi kutipan yang tinggi supaya ada pulangan modal untuk filem lain diterbitkan? Sama juga seperti aktiviti memuat turun lagu-lagu nasyid secara percuma – memang tidak ethical dari segi prinsip, tetapi lebih tidak ethical adalah tiadanya usaha kita untuk membantu penyanyi-penyanyi ini ‘cari makan’.

Dalam pening saya mendengar hujahan yang pelik-pelik malam tadi, saya sekali lagi diingatkan tentang tanggungjawab – tanggungjawab islah & reformasi yang tidak pernah selesai.

Advertisements

4 comments

  1. Malaysia ini gah hanya pada nama sahaja sebagai sebuah negara Islam. Malangnya perlaksanaan Islam itu adalah sangat longgar dan goyah. Memang menyedihkan apabila kita mendalami situasi sebenar Islam di Malaysia. Seolah-olah Islam hanyalah topeng bagi sesetengah individu juga seperti yang awak katakan iaitu ianya “sekadar salam, solat, puasa serta perkara-perkara yang zahir sahaja”. Apabila ada pihak membuat teguran, sesetengah pihak akan melenting. Islam bukan lagi menjadi asas penting bagi sesuatu perkara atau aktiviti sebaliknya sekadar menjadi aksesori supaya mancukupkan syarat dan mengaburi pandangan pihak lain. Hanya matlamat utama sahaja yang menjadi tumpuan dengan tidak memperdulikan lagi walau bagimana cara sekalipun. Sungguh menyedihkan dan memalukan. Lebih-lebih lagi bila taraf seseorang itu hanya dipandang dari berapa tebal kelulusan akedemik formal yang dimiliki dan bukannya tahap keimanan.

  2. Huhu,

    Ye saya..

    Skru,

    Betul sangat. Topeng untuk memuaskan khalayak – so that they are seen as what the audience what them to be seen.

    A long way to go, tonnes of works to do 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s