Percubaan 1 : Satu Kisah di Dolgellau


Satu tabiat buruk saya adalah menulis, tetapi tidak pernah mahu menghabiskan. Saya semak-semak kembali ‘folder’ dalam komputer saya (yang bakal dilupuskan tidak lama lagi), ada lebih sedozen fail yang senasib dengan fail ini. Saya ‘copy’ sedikit di sini. Saya sangat mahu menamatkan kisah ini, tetapi berbaloikah?

*************************

Pengajian tauhidku lama dahulu memberitakan bahawa Tuhan itu ada di mana-mana.

Ia ada pada setiap apa yang disentuh oleh mata, itu kata guruku.

Tetapi kenapa hari ini aku belum bisa melihat Tuhan yang Satu, malah aku terasa jauh dariNya?

Adakah Tuhan yang berada di mana-mana itu hanya bisa dilihat dengan mata, yang bukan mata kasar tetapi mata hati?

Kalau itu benar, adakah aku sudah buta mata hati sehingga tidak terlihat Tuhan yang senantiasa di sisiku?

Aku cuba-cuba menghayati puisi Rumi yang penuh kecintaan pada Rabbnya, dan kemudian aku menangis.

Aku pernah juga menekuni bait-bait puisi wanita sufi Rabiah al-Adawiyah, dan kemudian aku menangis.

Mengapa mereka bisa melihat dan menemui Tuhan sedang aku masih terkapai-kapai begini?

************************************

Dolgellau.

Awan gelap menyelubungi bandar kecil di kaki gunung Cader Idris petang itu memberikan alamat yang tidak lama lagi hujan akan membasahi bumi. Tetapi kedegilan yang kuwarisi entah daripada siapa menyebabkan aku tetap keluar daripada rumah tumpanganku, langsung mengatur langkah melintasi Eldon Square. Hari pertama di Dolgellau, aku mahu menikmati deru Sungai Wnion, aku bertegas pada diri.

Melewati Tourist Centre aku melempar senyum pada Micheal, lelaki lebih separuh umur yang banyak benar menolongku yang berada di kaunter. Berkali-kali aku menelefonnya sejak di Manchester lagi, bertanya itu dan ini. Saya bakal bersendiri di Dolgellau, adakah itu bahaya, aku bertanya. Dan Michael dalam senyumnya (aku yakin dia tersenyum ketika menjawab soalanku ), menjawab senang – tidak perlu risau. Dolgellau tidak sebahaya Manchester.

Dan aku percaya kata-katanya, lantas tiada berlengah menyiapkan itu dan ini untuk ke Dolgellau.

Bandar kecil yang di utara Wales itu sebenarnya sudah mengikat hatiku sejak kali pertama aku menjejakkan kaki ke situ setahun yang lalu. Aku jatuh cinta pada damainya suasana, jatuh hati pada haruman yang dibawa angin daripada celahan Cader Idris. Dan musim bunga ini aku terpaksa kembali. Satu, kerana cintaku, kedua kerana kekalutan yang membelit segenap hidupku menyebabkan tidak betah lagi untuk berada di Manchester.

Benar-benar terapeutik bunyi air yang menderu di celahan batu. Aku langsung hanyut dalam kedamaian tatkala melintasi Jambatan besar Y Bont Fawr. 1638, tertulis di sisi kiri jambatan itu, tarikh pembinaannya. Aku berteleku sendiri di pinggir jambatan. Dalam hati, aku menyebut puisi Jalaluddin Rumi yang cuba kufahami.

Make yourself free from self at one stroke!

Like a sword be without trace of soft iron;

Like a steel mirror, scour off all rust with contrition.

Barangkali aku menyebut kuat bait akhir puisi itu, dan dia – lelaki yang tidak kusedari turut berteleku sendiri di sisi kananku – menegur.

Puisi Rumi – Mowlana Jalaluddin Rumi, bukan?

Dan dia mengulang kembali ketiga-tiga bait, menyebabkan aku tersenyum.

Jadi petang itu, suatu petang pada musim bunga tahun ini, akan kukenang sampai bila-bila, kerana pada petang itu aku mengenali seorang lelaki bernama Georg Werner. Lelaki Jerman bermata redup persis mata lelaki idamanku, dengan rambut genjur separas bahu menegurku dengan senyum senang, menghulurkan payung saat hujan mula membasahi, terus menghantarku pulang ke rumah tumpangan.

Georg Werner.

Jadi kamu tinggal di sini sepanjang seminggu percutian?

Aku mengangguk pada soalan itu, lantas mencecahkan punggung ke kerusi empuk berhampiran pintu masuk Ivy House. Georg menarik kerusi di hadapanku.

Kenapa jauh benar kamu melarikan diri?

Manchester. Aku berbisik sendiri, menyimpan masalah yang besar. Di mana-mana aku berlari aku tidak mampu membuang berat yang terbeban di bahu. Pengajianku yang cukup mencabar, tambah lagi dengan hati yang gusar, aku terasa keperluan untuk pergi jauh sebentar, berhenti sekejap daripada rutin yang menyebabkan aku lupa pada hakikat kejadian diri.

Georg mengukir senyum.

Soul-searching?

Aku mengangguk, langsung bertanya, mahu minum sekali denganku?

Georg menolak baik, dia ada kerja yang perlu dibereskan petang itu.

Aku harus pulang , pulang ke rumahku di sana, katanya sambil mengunjuk sopan ke hujung jalan yang melintasi depan Ivy House, kerana aku perlu bersedia untuk kerjaku esok pagi.

Aku akan kembali petang esok.

Georg beransur pergi dalam hujan, dan kelibat tubuh lampainya aku perhati hingga lenyap di hujung jalan, bersama payung hitam berjalur kelabu.

********************************

Advertisements

2 comments

  1. Argh..nak baca lagi. Finish it up, please!!! Apsal x check folder a month ago? Bole masuk sayembara =(

    But seriously, you have to finish this one up!! Gosh, dearie, you’re so talented!!

    -Haz

  2. Huu..
    Thanks for your encouragement. Appreciate it much!

    InshaAllah aku cuba habiskan, cuti summer ni, as well as other unfinished writings. Kalau fikir-fikir balik, dah sepuluh tahun aku bertangguh mcm ni, bila nak jalan kalau mcm tu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s