Journey to the Past – Sinai Part 2


Kubu Israel yang separa hancur dimusnahkan tentera Mesir

Kalau diriwayatkan tentera Israel mempunyai senjata bawah tanah yang tidak boleh dikesan, saya yakin inilah dia. Mempunyai pintu automatik yang terbuka hanya saat peluru hendak dilancarkan.

Tempat tidur tentera. Sejuk dan nyaman walaupun di bawah timbunan pasir di tengah panas terik. Saya pun terasa mahu berbaring.

Pemandangan dari jauh kawasan kubu. Berpagar kawat tajam, kerana itu kawasan bahaya, masih berperiuk api yang belum dimusnahkan.

Kawasan ini pernah menjadi saksi peperangan antara tentera Zionis dan Mesir. Masih ada kesan di sana-sini.

Ini binaan kubu Israel. Samar-samar, kata Ustaz Luthfi, jika dilihat dari udara. Kerana itu sukar amat untuk dikesan.


Petikan kitab suci mereka. Talmud mungkin. Ustaz Luthfi sudah berjanji untuk menterjemahkan. Nanti esok-esok apabila janji sudah ditunaikan, saya tulis terjemahannya.

(Lama agenda menulis nota-nota perjalanan ini terhenti. Kembali ke Manchester, prioriti sudah berubah tentunya.)

Semenanjung Sinai panjang sejarahnya. Berjirankan Palestin dan Jordan, juga Arab Saudi di seberang Teluk Aqabah, Sinai menyimpan sejarah ketenteraan yang panjang. Jika saya sebutkan sebelum ini bahawa Mesir ini negara tentera, itu tidak lain kerana kedudukan geografinya yang begitu hampir dengan Palestin yang kini dikuasai oleh rejim Zionis. Sebelum saya meneruskan, ingin saya sebutkan tentang pendirian Mahmoud Ahmadinejad tentang Israel dan zionis. Kalau anda meneliti semua kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh beliau, tidak sekalipun beliau menyebut ‘Israel’ sebagai sebuah negara mahupun satu bangsa, sebaliknya menyebutnya sebagai rejim Zionis. Setelah difikir-fikir, betul juga, jika kita tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, mengapa perlu menyebutnya menggantikan ‘Palestin’? Israel dan Zionis bukan sinonim.

Sinai pernah ditakluki rejim Zionis dalam agenda perluasan tanah Yahudi. Dan dalam usaha merampas kembali Sinai, berlaku deretan peristiwa yang menyaksikan banyak darah yang tumpah. Salah seorang yang syahid dalam perjuangan menentang Zionis ini adalah As-syahid Ahmad Hamdi, yang merupakan seorang panglima perang tentera Mesir. Elok saya terangkan juga sedikit mengenai konflik Arab-Israel (yang memang tidak tamat-tamat). Ada siri-siri peperangan, kalau di Wikipedia dinaqalkan bermula 1920 langsung ke Perang di Lubnan tahun lalu, dan pada tahun 1973 siri-siri serangan baru dilancarkan, dan perang ini dinamakan Yom Kippur War atau Harb Tishrin (October War), seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk mengambil kembali semenanjung sinai daripada Zionis yang menawan kawasan tersebut semasa Six-day War 1967. Menarik juga apabila membaca strategi perang yang digunakan oleh tentera Arab, khususnya Mesir dalam peperangan ini. Baik dari segi pemilihan hari (Yom Kippur adalah hari kebesaran orang-orang Yahudi dan kebanyakan mereka, baik tentera yang berkubu di kubu-kubu sepanjang terusan Suez itu berada di sinagog, meski ada yang menyatakan taktik menyerang pada hari suci ini menyebabkan lebih ramai tentera simpanan yang terlibat), mahupun teknik serangan yang dipilih untuk memecah masuk kawasan yang dikawal rapi tentera zionis. Say turunkan petikan kisah ini (hampir sama dengan versi yang diceritakan oleh Ustaz Luthfi) dari sebuah laman web: http://www.geocities.com/abuzar_alhusna/sinai.htm

Ketika itu tentera Islam menghadapi pelbagai kesukaran. Musuh Islam, tentera Israel telah menjajah seluruh Sinai dan mereka berada di Dhaffah timur di bahagian terusan Suez. Mereka telah membina kubu Barlief yang kukuh, daripada besi dan simen di bawah bumi, seakan sebuah kota besi yang tidak mungkin dapat dicerobohi oleh sesiapa pun dan kalis segala peluru dan bom.

Orang Yahudi boleh memasuki kota besi ini dan menguncinya dari dalam. Tiada siapa yang boleh sampai ke tempat ini. Orang yang berada di dalamnya boleh melihat apa yang berlaku di luar dan mereka juga boleh melepaskan tembakan peluru meriam atau bom di atas permukaan bumi terhadap sesiapa yang menyerang mereka. Mereka berada berada di bawah bumi, tanpa perlu keluar daripada kota besi ini.

Bahagian hadapan benteng ini sangat teguh. Mereka membina bukit yang tinggi daripada pasir sepanjang pantai di bahagian timur terusan Suez, seakan ia sebuah tembok besar yang tidak boleh ditembusi oleh peluru meriam dan bom.

Lagi:

Suatu fakta yang tidak pernah tercatat bagaimana tentera Islam berjaya meruntuhkan kubu Barlief ialah apabila Syeikh al-Azhar ketika itu Syeikh Abdul Halim Mahmud bermimpi pada malam hari. Hanya satu cara untuk meruntuhkan kubu yang kononnya paling kukuh dalam dunia itu. Iaitu disembur dengan air menggunakan saluran paip air. Lalu tentera Islam menyalurkan air dan menyembur kubu musuh. Semburan air tersebut membuatkan kubu itu hancur luluh dan ranap sama sekali. Ajaib!! Kubu yang seteguh itu hanya boleh diruntuhkan dengan semburan air. Tentera Islam akhirnya berjaya menawan kubu Barlief dalam masa enam jam.

Memang fakta yang disebut di atas tidak ada disebutkan dalam mana-mana catatan sejarah, baik dalam Wikipedia yang ditulis oleh barat, mahupun yang ditulis oleh rakyat Mesir sendiri. Setakat mana anda mahu mempercayainya, itu hak anda.

Menyeberangi terowong bawah tanah, kami tiba di semenjung Sinai, langsung ke Kubu tentera Israel yang ditinggalkan. Memang teruja benar saya. Saya yakin, meskipun tidak begitu arif tentang kronologi perkembangan teknologi ketenteraan, bahawa kelengkapan yang dimiliki, juga sistem yang digunapakai oleh tentera Israel memang hebat pada zaman tersebut. Kalau disebutkan dalam artikel di atas bahawa mereka menyerang daripada bawah bumi, itu memang benar. Dengan kubu yang tersorok dengan baik, juga kedudukan yang strategik, memang sukar untuk menembus masuk. Kami dibawa masuk ke dalam kubu (yang tersorok jika dilihat dari udara, ditimbusi pasir) oleh lelaki yang bekerja di situ, lengkap berpakaian tentera. Dia menerangkan dalam bahasa Arab, kemudiannya Ustaz Luthfi menterjemahkan. Meski di luar panas terik (saya fikir sekitar 35 darjah celcius ketika itu), di dalam kubu sejuk dan nyaman. Memang teknik kejuruteraan pengudaraan yang mantap.

Masuk menjenguk bilik-bilik yang terdapat di dalam kubu itu (yang dibahagi khas untuk pegawai-pegawai tertentu) saya terpandang tulisan Ibrani yang dibingkaikan, kesan yang masih tertinggal pada kubu yang berjaya ditawan tanpa dimusnahkan. Petikan dari kitab taurat yang sengaja dipampang, azimat yang menjadi motivasi tentera-tentera Zionis ketika itu. Mujur ada terjemahan dalam bahasa Arab, lekas-lekas saya memaksa ustaz Luthfi menterjemahkan. Saya tulis di sini dalam entri yang lain, kerana perlu mendapatkan fotonya dulu!). Ya, petikan kitab suci mereka itu barangkali menjadi penguat semangat – kepercayaan yang ditanam kukuh bahawa mereka adalah bangsa terpilih (walaupun saya arif bahawa Zionis bijak menggunakan agama untuk kepentingan sekular mereka). Dan kita? Bagaimana? Ayat-ayat suci al Quran memang indah dibingkaikan, cantik menghias dinding – tetapi isinya, nilainya, seolah-olah terhindar daripada meresap masuk ke dalam jiwa.

Advertisements

One comment

  1. oh,bestnye entry ni..tak sabar nk tunggu yg seterusnye psl terjemahan itu.. teruskan berusaha,kak afni!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s