Month: December 2007

Egypt a Prologue : Mushkilah – Sabr – Rahmah Part 2 (updated)

Foto ini sepatutnya dimuatkan dalam entri sebelum ini. Keadaan di pejabat visa. Very open-air.

Saat-saat di Giza (masih belum tertekan)

CityStars. Tempat kejadian.

Jika sebelumnya saya menyangkakan bahawa mendapatkan visa adalah masalah terbesar, maka saya telah salah. Urusan menukar tarikh penerbangan kembali ke London sebenarnya lebih memeritkan.

Mimpi ngeri masih berlanjutan, mehnah masih perlu ditempuhi rupanya. Bermula dengan sistem atas talian yang tidak berfungsi, mahu tidak mahu terpaksa juga ber’explorace’ di kota Kaherah.

Sepatutnya sehari itu kami luangkan untuk menjelajah tempat-tempat menarik di kota ini. Muhsrif yang ditempah oleh kak Liana, mas’ulah Rumah Perlis yang kami diami itu sepatutnya membawa kami ke Giza melihat Piramid, terus ke muzium, dan melawat makam-makam di sekitar kota ini jika sempat. Tetapi separuh hari terpaksa dihabiskan mencari kaunter urusan British Airways.

Selesai melihat piramid-piramid di Giza (esok lusa saya kisahkan semuanya), seharusnya kami terus ke Muzium. Namun selagi urusan tiket dan penerbangan kembali ini tidak selesai, hati tidak akan tenang untuk menjelajah dan menghayati kota ini, jadi Ustaz Lutfi membawa kami ke Midan Tahrir, Downtown untuk ke pejabat urusan British Airways. Alamat sudah berada di tangan, tetapi kelibat loga biru merah sistem penerbangan itu tidak kelihatan. Dua-tiga kali juga Ustaz membawa kami berpusing sekitar Midan Tahrir, namun gagal. Terus ke lapangan terbanglah, cadang Ustaz meski jauh, namun di situ memang pasti ada kaunter tiketnya.

Dan dalam kekalutan itu, dek panas terik yang belum terbiasa, kepala terasa berat. Ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah juga memakan masa.

Dan sesampai di sana, memang ada pejabat BA, tetapi yang membuatkan saya terasa ingin menjerit marah adalah notis waktu operasinya – 6.00 pagi hingga 9.30 pagi. That is so ridiculuous!
Tertutup kejap pintunya. Berkunci rapat ketika kami tiba tengahari itu.

Memang benar kata kakak serumah di rumah Perlis itu – Mesir itu bumi penuh ujian.Pesan orang yang lebih dahulu makan garam tentang kerenah orang-orang Arab Mesir kepadanya- Huruf ‘pangkalnya, ‘mim’ bererti ‘mushkilah’ – masalah. ‘Shad’ itu pangkal kepada perkataan yang menjadi ubat – Sabar, dan ‘ra” adalah huruf pangkal bagi ‘rahmah’, buah yang bakal dipetik atas segala kesabaran. Hmm.. Sabar dan redha..

Ustaz Lutfi tergelak juga melihat gelagat kami yang kecewa – beginilah orang Mesir, kelam-kabut sistemnya. Petua untuk terus survive di bumi ini cuma dua katanya : satu, SABAR. Dua, TAWAKAL.

Lelaki di kaunter berdekatan memberitahu, dengarnya BA telah berpindah ke pejabat baru di Starcity. Oh, kenapakah tiada satu notis pun yang memberitahu hal itu? Saya merungut lagi.
Starcity memang tidak jauh, tetapi sampai di sana barulah saya tahu, Starcity adalah satu kompleks bangunan yang besarnya mungkin sekali menyamai Trafford Centre. Mencari kaunter pertanyaan sudah menjadi satu hal, arahan yang diberi juga tidak tepat, cuma membawa kami ke hotel yang berada dalam kompleks yang sama: Hotel lima bintang, yang kami masuki dengan kasut berdebu dek perjalanan di sekitar piramid Giza awal-awal tadi.

Kalaulah saya berharap bahawa pencarian kami berakhir di situ, saya salah sekali lagi. Tiada pejabat BA di situ, Pegawai di resepsi memberi arahan baru: Go down to level ‘minus two’ turn left and left, across the swimming pool’ – dan arahannya membawa kami (saya, Hakimah, Wani dan Kak Zana, pensyarah UPSI yang ikut serta, sedang dalam ‘sabbatical leave’) ke satu bangunan yang lain. Terpaksa bertanya lagi di resepsi bangunan itu sebelum bertemu pejabat urusan BA.

Sakit hati? Memang. Kalau di Eropah, dengan bertanya arah satu-satu tempat memungkinkan kita mendapat satu ‘tourist guide’ baru yang akan membawa terus destinasi yang ditujui, tetapi di sini tidak.

Mujurlah pegawai BA yang melayan kami berurusan dengan lemah-lembut, hilang juga geram di hati. Jika tingkahnya sama seperti rakan sekerjanya di kaunter sebelah yang begitu sombong melayan seorang gadis yang berurusan tentang tiketnya, mahu juga saya mengamuk di situ.

Ada dua bulan lagi.

Sabar dan tawakal.

Juga redha.

Tarbiyah yang mahal harganya.

Advertisements

Egypt a Prologue : Mushkilah – Sabr – Rahmah (updated)

Jalan raya di kota Kaherah. Sila tambah muzik latar (bunyi hon tanpa henti)

Mendaki tangga menuju Allah. (Caption yang tiada kaitan dengan gambar tangga di madrasah lama pengikut tarikat Shazliyah)

Selesai menguruskan visa pada hari pertama ketibaan di bumi Mesir, alhamdulillah.

Menjejakkan kaki di bumi Anbiya’, hati rasa terharu. Terharu dengan kemurahan rezeki yang Allah kurniakan, juga ilham untuk menjejakkan kaki di bumi bersejarah ini, meski masih ada destinasi lain yang boleh saja saya jelajahi jika saya mahu.

Barangkali bukan gamitan piramid Giza yang menyebabkan saya ingin benar ke sini. Kata Hakimah (bukan Hakimah Muhammad), teman serumah Perlis yang saya temui siang tadi, Mesir mungkin bukan negara miskin tetapi kaya dengan ilmu. Teringat cita-cita yang saya simpan untuk belajar di Mesir, mendapat inspirasi daripada seorang penceramah yang datang ke kolej suatu ketika dahulu (beliau dan isteri graduan kejuruteraan dari Australia, menyambung pengajian di al-Azhar kemudiannya), dan saya berkata pada diri, kalaupun cita-cita itu tidak tercapai sepenuhnya (kerana perancangan yang sudah berubah), sekurang-kurangnya saya sempat juga mengutip ilmu di sini, alhamdulillah. Kredit kepada emak dan ayah yang merelakan ketidakpulangan saya ke Malaysia.

Teringat pesan sahabat yang bersungguh-sungguh menguruskan hal pemergian kami ke sini:

“Enti dan Hakimah, balik dari Mesir mesti jadi ustazah tau.”

Ustazah? Haih!!

Dan pesannya lagi, Mesir adalah bumi Anbiya’ penuh berkat, tetapi harus juga diingat bahawa Mesir juga bumi Firaun. Ada buruk dan baiknya.

Selesai berurusan di pejabat Imigresen, saya, Hakimah dan Aswani dibawa berjalan sekitar Nasr City. Saya dan Hakimah, di tengah terik matahari sub-sahara itu masih mampu tergelak besar : sepanjang jalan utama itu tidak berhenti hon dibunyikan oleh pemandu. Di UK, andai hon dibunyikan bermakna memang ada kesalahan besar yang dilakukan oleh pengguna jalan raya. Dan pejalan kaki umpama raja, saya sendiri yang sering kurang sabar selalu sahaja menyeberang tanpa menanti ‘the green man’ muncul. Tetapi di sini, bunyi hon itu seolah irama yang tidak terhenti. Bingit telinga mendengar. Kata Kak Zai yang menemani, begitulah cara mereka berkomunikasi. Sebelum membelok di persimpangan harus juga dibunyikan hon. Pencemaran bunyi betul! Dan jika saya masih mahu meneruskan habit tidak sabar saya itu, tidak panjang umur rasanya.

Makan tengahari di Genena Mall yang lengang sekitar waktu Zohor (panas terik menyebabkan aktiviti membeli-belah tertunda hingga lewat asar, langsung ke tengah malam), Shees Towouk (hehe..entah betul entah salah ejaan ruminya) menjadi menu atas saranan Kak Liana yang menjadi pemandu. Menerima taklimat keselamatan sepanjang perjalanan (Mesir memang kurang selamat berbanding Manchester), nampaknya saya memang perlu belajar menjadi lasak seperti ustazah-ustazah di sini. Kembali ke Rumah Perlis (bertemu sahabat senegeri menyebabkan saya terasa seolah sudah pulang ke Malaysia, sungguh!), menerima pula taklimat dari ustaz yang mengganti sementar tugas pegawai penjaga rumah Perlis itu. Ikut peraturan, jangan keluar malam, itu pesannya. Angguk sahaja. Mendengar kisah kebarangkalian untuk berhadapan dengan gangguan seksual daripada Kak Zai, saya tidak terfikir langsung untuk buat-buat berani seperti di Sepanyol dulu (tiba di Madrid tengah malam, in the middle of nowhere without a clue on what to do).

Dua bulan di sini inshaAllah. Moga doa teman supaya saya mampu mengutip sebanyak-banyak mutiara di bumi ini termakbul. Dikurniakan kekuatan, dan kesihatan (panas terik mentari Afrika, sekian banyak petua untuk kesihatan yang patut dipatuhi – saya sungguh tidak berdisiplin apabila sampai ke hal-hal menjaga kesihatan!) dan ketenangan hati untuk menerima ilmu.

Mudah-mudahan dipermudah segala urusan.

Tunggu entri akan datang.

Journey to the Past – Sinai Part 3

Satu daripada 12 sumur yang masih kekal

Syajarah Musa (Poko Musa), kononnya kekal sejak 3500 tahun dahulu, membntuk kalimat Allah. Tetapi saya amat skeptik tentang hal ini.

Persekitaran ‘Uyun Musa. Barangkali sumur yang lainnya tertimbus di kawasan ini.

Perjalanan di pesisir Laut Merah. Tiada 7-eleven ya?

Laut Merah yang berwarna biru.

Saya meninggalkan kubu tentera Israel itu dengan perasaan yang berbagai-bagai. Mengenang bantuan Allah yang tiba kepada hamba-hambaNya yang membantu agama Allah, sebagaimana yang dijanjikanNya : ‘…kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.’ (Muhammad:7). Kalau perjuangan itu memang dengan niat yang tulus, meski wahyu sudah lama terputus, tidak mustahil malaikat tetap akan turun membantu, seperti kisah peperangan di Chechnya yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu (rujuk entri Chechnya: Small Victorious War). Khabarnya tidak sedikit ahli Ikhwanul Muslimin terlibat dalam peperangan Arab-Israel ini, pastinya bukan atas alasan nasionalisme (peristiwa perang ini sebenarnya banyak menaikkan semangat nasionalisme Arab).

Terkenang lagi senjata-senjata tentera Israel yang sengaja dipamerkan di kotak kaca, ada senjata khas untuk wanita yang lebih ringan dan memudahkan. Ya, wanita turut mengangkat senjata sekadar kemampuan. Memang bukan cerita aneh (Saidatina Aisyah r.a. turut berperang juga, kan?), tetapi saya banyak menyoal diri – kalau aku bagaimana? Sanggupkah? Tazkirah saya saya dengar beberapa ketika yang lalu mengingatkan saya begini: Mengapa dalam al Quran, Allah meletakkan, pertama sekali, harta sebagai pengorbanan paling utama, kemudiannya pengorbanan jiwa? Kata sahabat yang menyampaikan, itu peringatan, jika untuk mengeluarkan harta pun kita keberatan, kita tidak akan berkemampuan untuk mengorban nyawa. (Read: kalau secara konsisten £10 sebulan daripada £650 elaun bulanan pun sukar untuk diinfakkan, simpan dulu kata-kata kononnya mahu mati di jalan Allah!).

Perjalanan masih jauh, tetapi kami akan berhenti di ‘Uyun Musa. Tempat yang dikisahkan menjadi perhentian Nabi Musa a.s. dan kaumnya setelah menyeberangi Laut Merah. Saya sudah kelaparan, kerana pagi-pagi sebelum bertolak saya tidak berjaya memenuhkan perut, tetapi ini perjalanan merentas padang pasir, bukannya ada 7-Eleven di pinggir jalan, jadi mahu tidak mahu, terpaksalah saya sabarkan diri. Ustaz memang sudah membeli nasi untuk di Suez tadi, tetapi kami tidak akan berhenti makan sehinggalah kami melepasi Hammam Firaun.

Berderet-deret gerai gadis-gadis badwi menjual kraftangan menunggu kami di ‘Uyun Musa – Spring of Moses, atau mata air Nabi Musa a.s. , dan saya yang memang have got a thing with embroidery, beads and elaborate designs sudah rambang mata. Tetapi Ustaz Luthfi awal-awal lagi menarik kami ke tepi perigi yang pertama, dan memulakan cerita.

Dan cerita ini, patut saya tegaskan, bukan ceritera biasa. Ini kisah seorang rasul bergelar ‘ulul Azmi yang termuat dalam al Quran. Dan kerana al Quran itu mukjizat, maka pasti ada hikmah besar kenapa kisah ini diceritakan kepada kita. Jika tiada satu huruf pun dalam al Quran diturunkan tanpa makna, apa lagi sebuah cerita yang diulang-ulang, bukan? Melihat Piramid di Giza kali pertama, saya menanam azam dalam diri – kalaupun ilmu lain mungkin saya hanya sempat pelajari separuh jalan sepanjang saya di Mesir, sekurang-kurangnya kisah nabi Musa a.s. patut sudah berada di hujung jari usai dua bulan kembara saya di sini. Jika kaki sudah menjejak tanah yang sama yang pernah dipijak Rasul Allah Saidina Musa a.s. ini, namun kisah dan ibrahnya masih ingat-ingat lupa, pada saya, itu pembaziran yang sangat nyata!

Dan tentunya, kisah Saidina Musa a.s. membelah laut Merah dengan tongkatnya lantas membenam Firaun yang membuntuti (kata Ustaz Luthfi, Firaun sezaman dengan Nabi Musa a.s. bernama Ramses II, tetapi beberapa sumber lain yang saya rujuk menyebut anak Ramses II) serta pengikutnya – bukan kisah yang tidak diketahui ramai (kalau ingat-ingat lupa, saya sarankan anda ulang-baca di sini HarunYahya. Tetapi melihat sendiri tempat yang dipercayai berlakunya kisah tersebut, hati bertambah yakin. Kesannya pantas meresap, menimbulkan keinsafan dalam hati. Yes, faith is a knowledge that requires neither reason nor rational. Tetapi kerana kita makhluk empirikal, yang selalunya berpegang pada seeing is believing, maka melihat, menyentuh dan merasai sendiri tentunya mendatangkan impak lebih kuat. Kerana itu Allah menyebut dalam al Quran:

‘ Maka pada hari ini Kami selamatkan jasadmu (Firaun yang mati lemas dalam kisah ini) agar engkau dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu, tetapi kebanyakan manusia tidak mengendahkan tanda-tanda kekuasaan Kami.’

( Yunus: 92)

Mumia Ramses II (daripada laman web)

Allah tidak menggesa kita, makhluk yang diciptaNya dengan akal fikiran, untuk mempercayai bulat-bulat, tetapi disediakan pula bukti to feed and satisfy our rational thinking. Dan bukti itu,Firaun yang dimumiakan, kini is not far from access – Egyptian Museum.

Malangnya, saya sendiri segan-segan untuk menziarahi (sekarang baru terasa menyesal!) – duit bukan alasan (untuk masuk dan melihat mumia bayarannya LE 100, lebih kurang £10, dan itu bukan masalah besar. Masuk kastil sunyi di Loch Ness pun harganya £6!), tetapi saya yang memang tiada minat dalam Egyptologi tidak sanggup untuk membuang masa melihat batu-batu yang terpamer di muzium itu. I’d prefer spending that amount of time menziarahi makam-makam sekitar Kaherah. Tetapi anda, jika berpeluang ke sana, tolonglah jangan membuat keputusan seperti saya – rugi!

Dan di ‘Uyun Musa (‘Uyun adalah jamak bagi ‘Ain, bermaksud mata air) itulah, 12 clan yang menjadi pengikut nabi Musa mengeluh – tiada air melainkan air laut untuk diminum.

Diceritakan dalam al Quran peristiwa ini:

‘Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, “Pukullah batu itu dengan tongkatmu!”. Maka memancarlah daripada dua belas mata air. Setiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah dari rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu melakukan kejahatan di bumi dengan membuat kerosakan.’

(al Baqarah:90)

Walaupun sepatutnya ada dua belas perigi, sekarang ini cuma ada dua (atau tiga, saya tak pasti) mata air yang tinggal, itupun hidup segan mati tak mahu. Penuh dengan sampah, dan tidak kelihatan seperti satu tinggalan yang amat dihargai. Mujurlah itu melihat tempat ini tidak perlu membayar, kalau tidak mahu sahaja saya menjerit marah (seperti biasa), lagi-lagi saat perut mula berbunyi. Ada satu-dua grup pelancong yang lain (tidak semuanya Muslim, tempat ini juga ada disebut dalam Book of Exodus)

But then came the best time – shopping! Berderet-deret booth (daripada pelepah pohon tamar pastinya) menanti, dan gadis-gadis badwi yang comel (bak kata Ustaz Luthfi) tidak segan memujuk kami membeli hasil tangan mereka. Saya dan Hakimah teringatkan rakan-rakan sekuliah Kejuruteraan Kimia yang sebelas orang itu, lantas mencari-cari cenderahati yang sesuai. Hati tertarik dengan rantai tangan daripada manik yang halus comel, dijaja gadis badwi yang mengekor saya ke sana ke mari – dan saya dan Hakimah jenuh juga membuat pilihan sehingga ditertawakan dua ustaz yang meneman. Making decision is the hardest part when I go shopping, I have to admit, dan memilih 11 rantai tangan bukan kerja senang, ok? Tetapi harganya – LE 1 setiap satu, memang sukar untuk dipercayai!

Journey to the Past – Sinai Part 2

Kubu Israel yang separa hancur dimusnahkan tentera Mesir

Kalau diriwayatkan tentera Israel mempunyai senjata bawah tanah yang tidak boleh dikesan, saya yakin inilah dia. Mempunyai pintu automatik yang terbuka hanya saat peluru hendak dilancarkan.

Tempat tidur tentera. Sejuk dan nyaman walaupun di bawah timbunan pasir di tengah panas terik. Saya pun terasa mahu berbaring.

Pemandangan dari jauh kawasan kubu. Berpagar kawat tajam, kerana itu kawasan bahaya, masih berperiuk api yang belum dimusnahkan.

Kawasan ini pernah menjadi saksi peperangan antara tentera Zionis dan Mesir. Masih ada kesan di sana-sini.

Ini binaan kubu Israel. Samar-samar, kata Ustaz Luthfi, jika dilihat dari udara. Kerana itu sukar amat untuk dikesan.


Petikan kitab suci mereka. Talmud mungkin. Ustaz Luthfi sudah berjanji untuk menterjemahkan. Nanti esok-esok apabila janji sudah ditunaikan, saya tulis terjemahannya.

(Lama agenda menulis nota-nota perjalanan ini terhenti. Kembali ke Manchester, prioriti sudah berubah tentunya.)

Semenanjung Sinai panjang sejarahnya. Berjirankan Palestin dan Jordan, juga Arab Saudi di seberang Teluk Aqabah, Sinai menyimpan sejarah ketenteraan yang panjang. Jika saya sebutkan sebelum ini bahawa Mesir ini negara tentera, itu tidak lain kerana kedudukan geografinya yang begitu hampir dengan Palestin yang kini dikuasai oleh rejim Zionis. Sebelum saya meneruskan, ingin saya sebutkan tentang pendirian Mahmoud Ahmadinejad tentang Israel dan zionis. Kalau anda meneliti semua kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh beliau, tidak sekalipun beliau menyebut ‘Israel’ sebagai sebuah negara mahupun satu bangsa, sebaliknya menyebutnya sebagai rejim Zionis. Setelah difikir-fikir, betul juga, jika kita tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, mengapa perlu menyebutnya menggantikan ‘Palestin’? Israel dan Zionis bukan sinonim.

Sinai pernah ditakluki rejim Zionis dalam agenda perluasan tanah Yahudi. Dan dalam usaha merampas kembali Sinai, berlaku deretan peristiwa yang menyaksikan banyak darah yang tumpah. Salah seorang yang syahid dalam perjuangan menentang Zionis ini adalah As-syahid Ahmad Hamdi, yang merupakan seorang panglima perang tentera Mesir. Elok saya terangkan juga sedikit mengenai konflik Arab-Israel (yang memang tidak tamat-tamat). Ada siri-siri peperangan, kalau di Wikipedia dinaqalkan bermula 1920 langsung ke Perang di Lubnan tahun lalu, dan pada tahun 1973 siri-siri serangan baru dilancarkan, dan perang ini dinamakan Yom Kippur War atau Harb Tishrin (October War), seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk mengambil kembali semenanjung sinai daripada Zionis yang menawan kawasan tersebut semasa Six-day War 1967. Menarik juga apabila membaca strategi perang yang digunakan oleh tentera Arab, khususnya Mesir dalam peperangan ini. Baik dari segi pemilihan hari (Yom Kippur adalah hari kebesaran orang-orang Yahudi dan kebanyakan mereka, baik tentera yang berkubu di kubu-kubu sepanjang terusan Suez itu berada di sinagog, meski ada yang menyatakan taktik menyerang pada hari suci ini menyebabkan lebih ramai tentera simpanan yang terlibat), mahupun teknik serangan yang dipilih untuk memecah masuk kawasan yang dikawal rapi tentera zionis. Say turunkan petikan kisah ini (hampir sama dengan versi yang diceritakan oleh Ustaz Luthfi) dari sebuah laman web: http://www.geocities.com/abuzar_alhusna/sinai.htm

Ketika itu tentera Islam menghadapi pelbagai kesukaran. Musuh Islam, tentera Israel telah menjajah seluruh Sinai dan mereka berada di Dhaffah timur di bahagian terusan Suez. Mereka telah membina kubu Barlief yang kukuh, daripada besi dan simen di bawah bumi, seakan sebuah kota besi yang tidak mungkin dapat dicerobohi oleh sesiapa pun dan kalis segala peluru dan bom.

Orang Yahudi boleh memasuki kota besi ini dan menguncinya dari dalam. Tiada siapa yang boleh sampai ke tempat ini. Orang yang berada di dalamnya boleh melihat apa yang berlaku di luar dan mereka juga boleh melepaskan tembakan peluru meriam atau bom di atas permukaan bumi terhadap sesiapa yang menyerang mereka. Mereka berada berada di bawah bumi, tanpa perlu keluar daripada kota besi ini.

Bahagian hadapan benteng ini sangat teguh. Mereka membina bukit yang tinggi daripada pasir sepanjang pantai di bahagian timur terusan Suez, seakan ia sebuah tembok besar yang tidak boleh ditembusi oleh peluru meriam dan bom.

Lagi:

Suatu fakta yang tidak pernah tercatat bagaimana tentera Islam berjaya meruntuhkan kubu Barlief ialah apabila Syeikh al-Azhar ketika itu Syeikh Abdul Halim Mahmud bermimpi pada malam hari. Hanya satu cara untuk meruntuhkan kubu yang kononnya paling kukuh dalam dunia itu. Iaitu disembur dengan air menggunakan saluran paip air. Lalu tentera Islam menyalurkan air dan menyembur kubu musuh. Semburan air tersebut membuatkan kubu itu hancur luluh dan ranap sama sekali. Ajaib!! Kubu yang seteguh itu hanya boleh diruntuhkan dengan semburan air. Tentera Islam akhirnya berjaya menawan kubu Barlief dalam masa enam jam.

Memang fakta yang disebut di atas tidak ada disebutkan dalam mana-mana catatan sejarah, baik dalam Wikipedia yang ditulis oleh barat, mahupun yang ditulis oleh rakyat Mesir sendiri. Setakat mana anda mahu mempercayainya, itu hak anda.

Menyeberangi terowong bawah tanah, kami tiba di semenjung Sinai, langsung ke Kubu tentera Israel yang ditinggalkan. Memang teruja benar saya. Saya yakin, meskipun tidak begitu arif tentang kronologi perkembangan teknologi ketenteraan, bahawa kelengkapan yang dimiliki, juga sistem yang digunapakai oleh tentera Israel memang hebat pada zaman tersebut. Kalau disebutkan dalam artikel di atas bahawa mereka menyerang daripada bawah bumi, itu memang benar. Dengan kubu yang tersorok dengan baik, juga kedudukan yang strategik, memang sukar untuk menembus masuk. Kami dibawa masuk ke dalam kubu (yang tersorok jika dilihat dari udara, ditimbusi pasir) oleh lelaki yang bekerja di situ, lengkap berpakaian tentera. Dia menerangkan dalam bahasa Arab, kemudiannya Ustaz Luthfi menterjemahkan. Meski di luar panas terik (saya fikir sekitar 35 darjah celcius ketika itu), di dalam kubu sejuk dan nyaman. Memang teknik kejuruteraan pengudaraan yang mantap.

Masuk menjenguk bilik-bilik yang terdapat di dalam kubu itu (yang dibahagi khas untuk pegawai-pegawai tertentu) saya terpandang tulisan Ibrani yang dibingkaikan, kesan yang masih tertinggal pada kubu yang berjaya ditawan tanpa dimusnahkan. Petikan dari kitab taurat yang sengaja dipampang, azimat yang menjadi motivasi tentera-tentera Zionis ketika itu. Mujur ada terjemahan dalam bahasa Arab, lekas-lekas saya memaksa ustaz Luthfi menterjemahkan. Saya tulis di sini dalam entri yang lain, kerana perlu mendapatkan fotonya dulu!). Ya, petikan kitab suci mereka itu barangkali menjadi penguat semangat – kepercayaan yang ditanam kukuh bahawa mereka adalah bangsa terpilih (walaupun saya arif bahawa Zionis bijak menggunakan agama untuk kepentingan sekular mereka). Dan kita? Bagaimana? Ayat-ayat suci al Quran memang indah dibingkaikan, cantik menghias dinding – tetapi isinya, nilainya, seolah-olah terhindar daripada meresap masuk ke dalam jiwa.

Journey to the Past – Sinai Part 1 (updated)

Pangkal Terusan Suez. Saya fikir ada 2-3 kapal sedang menuju ke arah terusan ini, kalau dilihat dalam foto ini.

Permulaan Ahmed Hamdi Tunnel

Saya, di pinggir terusan. Dan sebuah kapal kargo.

Sebelum ini saya telah menulis ‘teaser‘ untuk pengalaman saya mendaki Jabal Musa. Malangnya keupayaan saya untuk meluahkan perasaan sebenar saya ketika itu amat terhad. Terhad dengan kosa kata yang sedikit, jadi mungkin sekali keterujaan saya itu tidak berjaya dikongsi. Saya sangat berhajat untuk menulis sepenuhnya pengalaman saya di Sinai, dan sebelum ‘rasa’ itu hilang, ada baiknya saya mula menulis sekarang.

Begini: Kami bertiga (Saya, Aswani dan Hakimah) pergi berjaulah di Semenanjung Sinai ditemani dua orang musyrif – Ustaz Luthfi dan Ustaz Karim. Saya tak pasti mengapa perlu ada dua orang musyrif, sedangkan rasanya kami bertiga memang behave ourselves well semasa jaulah-jaulah sebelum ini, baik ketika ke Alexandria, atau sekitar Kaherah.

Kami bertolak dari rumah Perlis awal pagi, singgah sebentar di Metro – Ustaz Luthfi membeli sekarton air mineral, ingat ya, ini jaulah merentas padang pasir – dan stok makanan yang saaaangat banyak, rasa-rasanya penuh juga kereta Hyundai Matrix yang kami sewa itu.

Saya membuka Travel guide Lonely Planet yang dipinjam dari Central Library Manchester: Kami di Cairo, akan bergerak ke Suez. Ingat Suez? Ya, Terusan Suez yang mungkin sekali anda pernah terbaca sejarahnya dalam buku teks Tingkatan Empat.

Perjalanan dari Cairo ke Suez tentunya merentas padang pasir juga. Padang pasir memang padang pasir, tetapi bukan sewenang-wenang anda boleh memijakkan kaki – semua itu kawasan tentera yang mungkin sekali bawah tanahnya penuh penjara atau pusat strategi ketenteraan. Oh, ya.Untuk merakam gambar juga harus hati-hati, silap haribulan boleh merengkok di penjara bawah tanah.

Kami berhenti di permulaan terusan Suez, jalan perdagangan yang sangat penting. Panjangnya 163 km, 300m lebar, menyambungkan Teluk Suez di Laut Merah dan Laut Mediterranean. Pembinaannya bermula sejak zaman Firaun lagi, disempurnakan sekitar 1869 oleh Perancis,memisahkan secara fizikal benua Afrika dan Asia. Sungguh tak terfikir ketika menghafal fakta sejarahnya dulu, bahawa suatu masa akan sampai juga di sini. Dan kebetulan, sedang asyik bergambar, kapal kargo MSC, jauh belayar dari Malaysia berada di depan mata. Dengan kelajuan sekitar 8 knot, kapal ini akan tiba di penghujung terusan ini yang bersambung dengan Laut Mediterranean dalam jangka masa 11-13 jam, selepas berhenti seketika di Great Bitter Lake (maaf, saya tidak tahu nama tasik ini dalam bahasa Melayu..opps..silap..bahasa Malaysia) untuk memberi laluan kepada kapal dari arah bertentangan kerana terusan ini hanya membenarkan satu kapal sahaja yang berlayar pada satu-satu masa. Jika anda berhajat untuk ke Mekah menaiki feri, di sinilah pelabuhannya. Dari pelabuhan/jeti ini ke Mekah mengambil masa kira-kira tiga hari- Ustaz Luthfi sendiri berkisah tentang pengalamannya berferi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Menuju ke Sinai bererti kami perlu menyeberangi Terusan Suez menerusi Terowong Bawah Tanah Ahmad Hamdi.

Soalan yang sangat baik untuk ditanya adalah ‘siapa Ahmad Hamdi?’.

(Saya sambung kemudian. Internet yang tidak cukup laju tidak membantu saya untuk mengkaji dengan cekap siapa Ahmad Hamdi.)

Until Jan 16..

So the Christmas break starts.
I am more than eager to start writing again on my journeys in Egypt, but the ideas and ‘feel’ are yet to reach me.

Meanwhile, I am trying to focus on my long-forgotten revisions and tutorials. Coursework-ing period has long gone, though I still have two online tests to be completed.

Wish me luck dear all!

Don’t be afraid!

A song I found in Youtube.

For my friends who choose to be different, choose to be fighters in Allah’s way.
For those who those who choose to live by the verse ‘ wa la yakhaafuna laumata laaa’im’ – unafraid of the blame of the blamers , al-Maidah:54
For those who choose to be strangers, in search of ‘tuuba’ (fa tuuba lil ghurabaa’).
For those who are afraid to be alone, always feel neglected.
For those who seems unable to find the strength to stand in this world.

Others may fall, but I’m hold my own
With Allah’s help I’ll be strong as stone
And I’ll be the one to let Al Islam be shown
Cause I am not afraid yo to stand alone

I am not afraid to stand alone
I am not afraid to stand alone
If Allah is by my side
I am not afraid to stand alone
Everything is gonna be alright
I am not afraid to stand alone
Going keep my head up high

And for myself,

Say,

Sufficient is Allah for me.