Egypt Finale : Uncovering Suez


Peta perjalanan dari Kaherah ke Ismailiyah. Titik-titik ungu menunjukkan jalan yang kami lalui.


(Foto menyusul kemudian InsyaAllah)


Saya belum berkisah tentang jaulah saya ke Dumyat ketika berada di Mesir. Dumyat juga dikenali sebagai Damietta, dan sekiranya anda ke Mesir untuk menjejak semua tinggalan sejarah atau tempat-tempat penting dalam Islam, Dumyat adalah destinasi yang tidak patut dilupakan.Saya beritakan sebabnya kemudian.

Jaulah ke Dumyat adalah jaulah terakhir saya sebelum berangkat pulang ke Manchester. Kalau saya katakan saya kurang emosi, juga kurang berfikir dan mentafsir sepanjang jaulah ini, maka inilah sebabnya. Saya sudah diuliti atmosfera melankoli ketika itu, mengenangkan diri yang bakal meninggalkan bumi Kinanah itu dalam masa seminggu. Kaherah sudah tamat dijelajahi dalam tiga trip, diikuti dengan Iskandariah, Semenanjung Sinai, Fayyoum dan terakhir sekali jaulah inilah, ke utara Mesir.

Perjalanan terakhir itu disertai Kak Zana (yang ikut serta dalam eksplorasi Kota Kaherah yang pertama dahulu), juga auntie dari Singapura yang menginap di bilik tamu Rumah Perlis, serta Aswani. Kali ini jaulah tanpa Hakimah, yang ketika itu sudah selamat tiba di Malaysia.

Pagi-pagi kami bertolak. Singgahan pertama: Ismailiyah. Teruja juga saya (meski keterujaan ini barangkali cuma sepertiga daripada keterujaan biasa ketika saya tiba di tempat baru), kerana langsung tidak menyangka, akan tiba juga ke tempat ini. Mungkin tidak signifikan bagi sesetengah pelancong bandar kecil di pesisir terusan Suez ini, tetapi bagi yang membaca, mengetahui dan menghayati perjuangan revival Islam Imam Hassan al-Banna, tempat ini menyimpan sejarah besar.

Saya ingat lagi, awal-awal dahulu, sedang berehat-rehat di kerusi dalam kedai kristal Asfour, saya bertanyakan tentang Ismailiyah kepada Ustaz Luthfi. Katanya kalau sejarah Ikhwanul Muslimin yang hendak saya jejaki, tiada apa lagi yang tinggal di situ. Jadi saya tidak menyimpan sebarang harapan untuk menjejakkan kaki ke tempat itu, tempat di mana Muslim Brotherhood, atau Ikhwan al-Muslimin ditubuhkan.

Bandar Ismailiyah jauhnya sekitar 80km, kira-kira hampir dua jam dari Kaherah, dan sepanjang perjalanan, kalau kebiasaannya saya habiskan dengan berfikir itu dan ini, kali ini saya habiskan dengan melayan kantuk. Tiba di Ismailiyah, saya sudah kelaparan (tidur memang membakar lemak ya!). Dibawa ke tepian Tasik Buaya (translasi terus daripada bahasa Inggeris, Crocodile Lake, atau Lake Timsah) yang direntasi terusan Suez. Satu dua kapal sedang perlahan menyeberangi tasik ini, memang ingin berlama-lama mengambil gambar di situ, tetapi bau airnya yang tak menyenangkan (seakan bau ikan masin/pekasam) menyebabkan saya cepat-cepat masuk ke kereta. Langsung bersegera ke masjid di tengah bandar kolonial itu untuk solat Jumaat.

Saya sempat bersolat Jumaat beberapa kali di Mesir, kerana biasanya jaulah kami adalah pada hari Jumaat (cuti mingguan). Ramai kaum ibu yang bersolat Jumaat, jadi kami bukanlah bersendiri. Pertama kali di Masjid Sultan Hassan yang tersergam indah (masjid saiz super, sungguh! Nanti saya muat naik fotonya), kedua ketika dalam perjalanan ke Sinai, barangkali di sebuah masjid berhampiran Ras Sudr, ketiga di Ismailiyah ini. Ketika jaulah ke Iskandariah, kami ditinggalkan di rumah Ustaz Taib dan ketika jaulah ke Fayyoum kami bertiga segan untuk turun bersolat Jumaat kerana malas untuk bersusah-susah mengambil wuduk (terpaksa mengangkat sendiri air dari Tasik Qarun), langsung berniat untuk solat di Kaherah, namun tiga kali pengalaman itu memang sudah cukup untuk mengatakan bahawa khutbah Jumaat di sana memang panjang lagi memengantukkan. Mungkin kerana saya tidak faham keseluruhan isi khutbah kerana kemampuan berbahasa Arab yang terhad. Tetapi bak kata Ustaz Luthfi, orang Arab, jika diberi mikrofon, memang susah untuk berhenti bercakap.

Kedai makan di Ismailiyah belum dibuka (biasanya pada hari jumaat, bandar hanya hidup setelah selesai solat Jumaat), maka mahu tidak mahu saya terpaksa menahan lapar sehingga ke Port Said, persinggahan yang seterusnya. Barangkali lebih senang saya rumuskan bahawa jaulah kali ini adalah jaulah menyusuri pesisir terusan Suez, menuju ke penghujungnya di Port Fuad. Saya muatkan peta di sini, untuk gaambaran yang lebih baik.

Memang betul gambaran yang diberi Ustaz Luthfi sebelumnya. Ismailiyah menghidangkan pemandangan yang adakalanya hampir serupa dengan pemandangan di Malaysia. Sekejap saya terasa seakan berada dalam perjalanan pulang ke rumah nenek di Kulim, sebentar kemudian seolah dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuala Terengganu. Atau mungkin saya ‘homesick’ sebenarnya?

Dalam perjalanan keluar dari Ismiliyah menuju ke Qantara, saya temui bukan sebuah rumah yang tersergam indah dan nampak mewah. Jika di Kaherah semua kediaman adalah berbentuk apartmen, rumah di kampung-kampung adalah rumah sebesar banglo, lengkap dengan eloborasi dan detail ukiran-ukiran yang menarik. Logik juga jika mereka nampak lebih mewah. Pendapatan hasil daripada ladang bukan sedikit, ditambah dengan cara hidup kos rendah (roti ‘aish instead of KFC) saya yakin mereka barangkali menikmati kualiti hidup yang lebih baik berbanding penduduk Kaherah.

Kalau sebelum ini, untuk merentasi terusan Suez ke semenanjung Sinai, dari Port Taufiq,adalah melalui terowong bawah tanah Ahmad Hamdi, dari Ismailiyah kami menaiki feri mini (Khattu Barlief kata ustaz Luthfi) untuk ke seberang sana. Trafik memang sibuk, dengan kapal-kapal yang sedang berlayar menuju ke Port Said, menyebabkan kami terpaksa menunggu sebelum kereta dibenarkan masuk ke feri mini itu. Kami ke seberang sana kerana ada destinasi penting: Kubu tentera Israel ketika perang Arab-Israel 1973.

Sepatutnya saya kisahkan tentang perang Arab-Israel ini dalam entri tentang jaulah ke Sinai, tetapi kerana entri yang satu itu belum mampu saya habiskan, saya tuliskan secara ringkas di sini. Perang Arab-Israel ini berlaku tidak lain untuk menawan kembali semenanjung sinai yang diduduki oleh Israel dalam agenda perluasan kawasan jajahan takluknya. Boleh dikatakan sepanjang pesisir sebelah timur Terusan Suez kedapatan kubu tentera Israel. Satunya telah saya kunjungi, ketika dalam jaulah Sinai, satu lagi di sini. Dan yang ini, adalah kubu terbesar dan jika saya tidak silap, yang utama.

Elok saya terangkan juga sedikit mengenai konflik Arab-Israel (yang memang tidak tamat-tamat). Ada siri-siri peperangan, kalau di Wikipedia dinaqalkan bermula 1920 langsung ke Perang di Lubnan tahun lalu, dan pada tahun 1973 siri-siri serangan baru dilancarkan, dan perang ini dinamakan Yom Kippur War atau Harb Tishrin (October War), seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk mengambil kembali semenanjung sinai daripada Zionis yang menawan kawasan tersebut semasa Six-day War 1967. Berminat untuk membaca lebih lanjut klik di sini. http://en.wikipedia.org/wiki/Yom_Kippur_War. Lebih menarik kalau anda sudi membaca artikel ini (jangan tanyakan kepada saya kesahihannya, tetapi saya juga mendengar kisah yang sama) http://www.geocities.com/abuzar_alhusna/sinai.htm. Kalau malas, tunggu sambungan nota perjalanan saya (Journey to the Past part 2).

Kalau saya tidak silap fakta, kubu kedua yang dilawati ini ada kubu pertama yang berjaya ditawan tentera Mesir dalam peperangan enam hari itu. Ini kubu utama, pusat di mana arahan dikeluarkan untuk tentera-tentera yang berada di kubu-kubu lain sekitar Barlief Line. Memang bukan mudah untuk menawan tentera paling canggih yang wujud ketika itu. Beberapa orang tentera Mesir terkorban sebagai syahid dalam peperangan ini (yang begitu menaikkan semangat nasionalisme rakyat Mesir), dan namanya ada diabadikan di sebuah tugu di situ.

Dan sebenarnya, bukan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam peperangan ini sebenarnya. Berdasarkan kisah yang saya dengari daripada sahabat-sahabat di sini, bukan sahaja pelajar lelaki Melayu yang terlibat secara langsung dalam peperangan, malah yang wanita juga turut terlibat dalam kerja-kerja belakang tabir, baik menjahit dan menyediakan pakaian dan sebagainya.

Bersambung

Advertisements

One comment

  1. X tahu pulak Malaysian pun terlibat mempertahankan rampasan tanah oleh Zionist, thx for the insight.
    Suatu hari nanti tanah2 yang dirampas akan kembalik kpd pemiliknya, we just hv to work hard, bring back Islam to its glory era

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s