A few days to go..


Hari-hari terakhir di bumi Mesir, yang setelah hampir dua bulan di sini, menyaksikan saya yang begitu keberatan untuk meninggalkannya. Ya, bukan saya seorang yang berpendapat begini bahkan auntie yang berasal dari Singapura (yang ikut serta dalam jaulah ke Dumyat) juga berperasaan sedemikian. Meski kelam-kabut sistemnya (berbeza 100% dengan UK, sudah tentu) tetapi ada perasaan lain yang mengikat hati saya pada bumi anbiya’ ini.

Tetapi tiket sudah dibeli, dan saya sudah tidak berkemampuan (kewangan tentunya) untuk menukar tarikh kembali ke Manchester. Jadi seharusnya hari-hari terakhir ini saya nikmati sepenuhnya – udara kota Kaherah yang likat dengan debu, angin panas yang menerjah pada kala-kala tertentu, juga terik mentari subsahara – semuanya bakal dikenang. Ya, tempat saya menuntut ilmu dan pengalaman yang tidak sedikit.

Pagi tadi kelas terakhir saya untuk Matan al-Ajrumiyyah di Madrasah Imam Shafie. Ketika ustaz menyebut kelas akan disambung minggu hadapan, terasa mahu menitis air mata : minggu depan pada hari ini, pagi-pagi begini, (kalau masih panjang umur) saya sudah berada di Manchester- beribu batu jauhnya daripada Haiyul ‘Ashir ini- dan mungkin sekali saya masih nyenyak diulit mimpi (7 pagi di Mesir bersamaan 5 pagi di Manchester). Alangkah ruginya saya!

Dan seperti biasa, apabila tiba saat-saat sedih begini, sebagaimana sedihnya saya kerana terpaksa pulang dari Baitul Qura di Sungai Udang, Melaka, tempat saya berkenalan dengan kitab lama bersama Ustaz Zulkifli ketika cuti musim panas yang lalu, saya cuba memujuk diri dengan pujukan yang diberi oleh sahabat saya lama dahulu: Sedikit atau banyak ilmu yang diperolehi itu tidak penting. Yang penting adalah bagaimana yang sedikit itu diamalkan. Itu yang lebih penting. Benar sekali. Seperti kata Ustaz Fuad Amran semasa mengajar kitab favourite saya, Ta’limu al-Mutaallim fi Tariqi at-Ta’lum : Ilmu adalah apa yang lekat dan terkesan pada peribadi. Buahnya ilmu itu terlihat pada amalan dan akhlak. Jadi, esok-esok jika saya masih marah-marah seperti selalu, tolonglah ingatkan bahawa saya sudah belajar syarah Hadis ke-16 Imam Nawawi. Jika saya masih saya yang dahulu, tanpa ada perubahan sedikit pun, ingatkan saya ke mana perginya ilmu yang saya tekuni di bumi ini.

Kelas bahasa arab di Markaz Sibawayh tamat seminggu lalu, setelah 100 jam. Berkesan? Sangat! Memang saya masih belum fasih untuk berkomunikasi dalam bahasa arab, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh menulis, dan boleh memahami sedikit-sebanyak bahasa Arab yang dituturkan – Fusha sahaja. Ditambah lagi dengan kelas bahasa Arab pada malam-malam selasa dan rabu di Rumah Perlis, juga syarah matan Al-Ajrumiyah di madrasah, cukuplah untuk menambah kecintaan saya terhadap bahasa ini, yang disifatkan oleh Imam Shafie r.a., umpama laut. Pernah sekali ustazah Marwah ketawa melihat saya dan menasihati , ‘La taghdibi ya Afni!‘ melihat saya yang seolah marah dengan bahasa arab kerana terlalu luas ilmunya. Bukan saya marahkan sesiapa pada ketika itu, cuma saya sangat kecewa, dan geram dengan diri sendiri: banyak benar perkara yang saya tidak ketahui. Jahil sungguh saya!

Tamat 100 jam kelas bahasa arab, saya menyambung dengan kelas tajwid 40 jam. Cuak juga pada pertama kali disemak bacaan, sudah lama tiada guru yang mendengar bacaan saya sejak tamat sekolah menengah. Di kolej memang ada kelas pengajian Islam, tetapi kerana bacaan al Quran lebih tertumpu kepada hafazan semata, dan ustazah di kolej rasa-rasanya tidak pernah sekali pun membetulkan bacaan (tidak bererti bacaan saya sempurna!). Hasilnya, memang banyak yang perlu diperbetul, baik makhraj mahupun hukum tajwid: dengung yang tidak cukup harakat, juga mad wajib muttasil yang sering dilupakan serta qalqalah yang tidak kedengaran. Memang aneh, dengan kesalahan yang sebanyak itu ustazah masih mengatakan bacaan saya umpama bacaan seorang syeikh (yang saya tidak kenali, mahupun ingat namanya), hingga ustazah menyangka saya pernah berguru dengannya!

Alhamdulillah, kalaupun dua bulan itu tidak cukup untuk saya menghabiskan biarpun satu kitab, sekurang-kurangnya mutiara yang saya cari, yang saya idam-idamkan ketika mula membeli tiket ke sini dahulu sudah saya temui. Sudah ditemui jawapan untuk persoalan-persoalan yang jauh saya bawa merentasi Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean, terima kasih kepada Ustaz Redzwan YDP Rumah Perlis yang bersusah-payah meluangkan masa untuk mengadakan sesi perbincangan, juga kesabaran menjawab persoalan-persoalan yang memaksanya melakukan homework dalam kesibukannya menguruskan itu dan ini. Semoga Allah merahmati. Juga pengajian di madrasah, meski tidak tamat, tetapi sudah membuka pintu, permulaan untuk saya mencari sehingga ke penghujungnya. Semoga keberkatan pada kitab-kitab lama yang baru saya kenali ini memberikan saya lebih kekuatan dan kecintaan kepada ilmuNya.

Dan tentulah, bukan sedikit ilmu yang saya kaut sepanjang saya berjaulah. Terima kasih daun keladi kepada mushrif yang sabar melayan dan menjawab soalan – Ustaz Luthfi. Menjejaki kesan perjuangan Rasul Allah Saidina Musa a.s., terasa semakin terkesan di hati ibrahnya juga tambah meneguhkan lagi ingatan ini : DAKWAH TIDAK BOLEH TERHENTI KERANA TAKUTKAN GOLONGAN YANG MEMPUNYAI AUTORITI. Juga melihat kesan-kesan kekuatan tentera Salahuddin al-ayyubi juga jejak para sahabat, tabi’ dan tabiin yang mengingatkan saya tentang banyak perkara. Menziarahi makam memang seronok, kerana daripada tidak kenal boleh menjadi kenal. Misalnya, satu makam yang memang sangat saya bersyukur kerana dibawa menziarahi adalah makam Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Ashqalani, ulama hadis terkemuka yang mencapai taraf Amirul Mukminin dalam bidang ilmunya itu, penulis syarah Sahih Bukhari. Kenapa tidak, selepas ziarah tersebut saya membaca ‘Ilmu Methodologi Hadis’ dan banyak sekali nama Imam Ibn Hajar disebutkan. Hebat bukan, penghafal sekurang-kurangnya 10 000 hadis berserta sanad, bukankah itu tanda pengguna otak pemberian Allah pada tahap maksimum?

Ada juga sahabat yang menyindir mesra: Asyik berjalan je, bila nak belajarnya?. Aduh!! Memanglah di Friendster saya penuh dengan gambar-gambar ketika jaulah ke sana-sini, tapi itu tak bererti saya asyik berjalan sahaja ya? Atau saya perlu memuatnaikkan gambar ketika di madrasah atau di markaz? Aktiviti berjaulah cuma terhad ketika hujung minggu sahaja setelah penat belajar (konon) – berjalan, melihat, dan mentafsir (dan mungkin kerana banyak berfikir itulah saya cepat sekali berasa lapar dalam perjalanan). Paling manis dan paling terkesan tentulah jaulah ke Sinai – 1400km pergi dan pulang. Juga Fayyoum, melihat kehidupan masyarakat luar kota Kaherah.

Dan tentunya, yang kukuh di hati adalah ukhuwwah yang terbina. Sahabat-sahabat yang baru dikenali, kakak-kakak serumah yang sabar dengan kerenah saya, menemankan ke sana-sini : terima kasih daun keladi. Rumah Perlis menyimpan kenangan yang banyak pastinya, walaupun cuma dua bulan. Bukan senang mahu memasak menggunakan periuk nasi rupanya, perlu kesabaran yang tinggi. Pada saat-saat begitu, saya sangat mensyukuri kebolehan memasak dan dapur besar di rumah sewa saya di Old Trafford dahulu. Tidak sanggup rasanya berlaukkan makanan yang dibeli setiap hari, biar lauk yang dimasak sendiri tidak sesedap mana, tetapi lebih menyelerakan. Simpati saya untuk para suami dan anak-anak yang terpaksa bersabar menelan lauk yang dibeli isteri/ibu di kedai setiap hari. Mangsa tentulah lebih patut dikasihani daripada pemangsa i.e. isteri bukan? (Encik Raudhah Juri yang menjadi lawan bertekak saya dalam isu ini tentu berpuas hati dengan kenyataan ini. Walaupun saya tidak bersetuju bahawa memasak itu adalah tanggungjawab hakiki isteri, tetapi kerana adatnya begitu maka saya tetap bersimpati kepada mangsa keadaan seperti ini).

Juga sahabat-sahabat HEWI PMRAM, yang saya kenali bermula taklimat Madrasah Imam Shafie, langsung ikut serta ke Mansurah berkonvensyen (entah mengapa mendapat layanan VIP, juga turut disebutkan nama oleh presiden dalam ucaptamanya – malu sungguh! Terasa mahu menyorok di bawah kerusi ketika itu)- banyak yang saya pelajari daripada mereka, berkongsi cerita dan kepahitan – mengingatkan saya bahawa jalan perjuangan saya, kalaupun terasa perit adakalanya, masih ramai yang menderita atas sebab yang sama. Tiada keluhan, cuma semangat dan kekuatan yang tumbuh subur untuk terus istiqamah di jalanNya. Semoga Allah mempermudah urusan mereka, terus thabat- dan inshaAllah kalau panjang umur, bertemu lagi di Malaysia. Allah muliakan PMRAM inshaAllah.

Masa ada kurang 96 jam sebelum saya berangkat meninggalkan bumi Mesir ini – semoga saat-saat yang berbaki ini mampu saya gunakan sebaiknya itu mencari mutiara yang masih tertinggal.
Advertisements

5 comments

  1. Cuti kau bukan cuti yang sia-sia kan.Baguslah.Beruntung kau dapat pergi sana+dapat ilmu yang mungkin susah nak dapat kat sini.Selamat menghabiskan sisa-sisa cuti yang ada okeh!:D

  2. salam afni..

    suka sgt2 dgn post ni.. nak quote sket utk buat entry baru nnt.. minta izin ye?

  3. eli,
    inshaAllah bermanfaat, tapi aku still rasa bersalah biarkan sahabat-sahabat kat Malaysia susah-payah buat kerja..huhuh..sorry sgt2!

    sue,
    tafaddhali. amikla apa yg patut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s