Month: August 2007

Mixed blessings

Saya menulis sebelum ini, kadang-kadang dalam kedukaan ada kegembiraan.

Barangkali saya harus menambah lagi: dalam kegembiraan ada juga kedukaan. Memang berbaur pesimis, tetapi hakikatnya, itu adalah peringatan, bahawa tatkala kita bergembira ramai yang masih berduka.

Minta maaf, entri ini masih bersifat personal. Saya ada isu yang mahu ditulis, tetapi hal ini masih meronta-ronta minta diluahkan.

Hari ini hari lahir emak saya yang ke-52. Saya menelefonnya pagi-pagi tadi, sekitar pukul 9 pagi di Malaysia menyampaikan ucapan selamat hari lahir. Dua-tiga minggu yang lepas, saya berkira-kira mahu membuat ucapan begini: ‘Selamat hari lahir, mak. Tahniah, now you are a grandmother at the age of 52!’. Saya tahu itu adalah sesuatu yang besar, perubahan besar untuk seorang wanita, tetapi kerana ada kekalutan yang lebih besar di sana, saya tidak sanggup untuk mengucapkannya. Hanya ucapan ringkas, dan emak menerima ucapan saya dalam gembira yang dibuat-buat. Hambar, dan saya sama sekali tidak terasa hati dengan penerimaan itu.

Apalah erti hari lahir, andai ada kematian yang seakan mengelilingi?

Ayah kepada emak, iaitu datuk saya, sedang sakit tenat sekarang setelah terjatuh beberapa hari yang lalu.

Doa saya untuk semua, dari kejauhan ini.

Advertisements

The other song.

Get this widget | Share | Track details

 

Ini lagu kedua yang mengingatkan saya kepada Mesir. Cerita hati tajuknya, saya dengari (terpaksa sebenarnya) ketika di rumah Perlis iramanya, ketika kumpulan nasyid rumah Perlis melakukan latihan, kemudiannya didengari tanpa henti sepanjang konvensyen di Mansurah. A kind of brainwashing which works really well with me 😛

 

Cerita Hati

Semalam yang telah pergi menghilang tanpa jejak
Membawa bersama cereka duka dan ketawa
Dan kini ku mencari kalau masih ada kesan
Yang terus tersisa di dada pantai permainan

Jalanan yang panjang bersimpang haluan
Bagai pentas luahan rasa tiada bersempadan

Pada awan biru kumelakar kata-kata
Pada langit cerah kupanah semua cerita
Dengarlah mentari suara hatiku menyanyi
Berterbangan jiwa merentasi pelangi

Mungkinkah ada esok
Untuk kuukirkan kalimah
Menjadi arca pembuktian
Pengabdian cinta

Gerimis menitis gugur membasahi bumi
Bagai menangisi sebuah cerita hati
Andai kaufahami semua hikayat pendeta
Seribu tahun kau pasti bisa setia ke alam syurga

Hapuslah air mata!

Sudah seminngu lebih saya di Manchester, kembali ke dunia saya, kembali ke negara penuh kesopansantunan, kembali kepada sistem yang kurang kelam-kabutnya.

Dan hari keempat kembali ke sini, diajak keluarga angkat (ketika saya masih diam di Cheetham hill, masih belum pulang ke rumah sewa sendiri di Chorlton-on-Medlock) ber’fruit-picking’, walaupun sedikit malas saya pergi juga – apa salahnya saya berusaha menghilangkan kesedihan saya terpaksa meninggalkan bumi Mesir, apa salahnya saya berusaha menghiburkan hati melayan keletah Fatin yang semakin manja. Dudk diam sendiri barangkali boleh menyebabkan lebih banyak air mata tertumpah.

Entah berapa kali saya menangis sendiri sepanjang perjalanan pulang dari Kaherah ke Manchester, saya tidak pasti. Bermula dengan pagi Khamis (hari terakhir saya menghadiri Madrasah Imam Syafie) ketika bersalaman dengan sahabat-sahabat yang saya kenali sepanjang mengaji di situ, langsung ke pagi esoknya ketika berpelukan dengan sahabat-sahabat serumah Perlis, juga ketika melambai buat kali terakhir kepada Kak Yana dan Kak Matun di lapangan terbang, saya masih tidak dapat menahan perasaan. Bahkan hanya dengan melihat peta Mesir yang terpapar di skrin di depan mata saya ketika dalam penerbangan, air mata saya tertumpah.
Dan pagi-pagi begini, semakin terasa kehilangan, yang jika perasaan itu dilayan-layan, akan tumpah sekali lagi air mata.

Saya harus bersetuju dengan kata-kata pengarah madrasah yang saya hadiri saban hari di Kaherah dahulu: anda akan merindui suasana majlis ilmu itu suatu masa nanti, dan memang benar, itulah yang saya rasai sekarang. Terkenang-kenang matan Waraqat yang belum habis didengar syarahnya.

Tetapi cukuplah sekadar ini melankoli. Hapuslah air mata, perjuangan saya masih belum berakhir dan tidak patut terhenti sementara kerana melayan perasaaan. Kerja yang berbaki masih perlu diselesaikan, ditambah dengan kerja baru (terima kasih boss!) nampaknya cuti yang tinggal kurang sebulan akan penuh terisi inshaAllah.

Baru tamat mengemas rumah baru, ‘make-over’ terminologi kontemporarinya. Rumah 30 East Grove di Chorlton-on-Medlock ini lebih kecil, tetapi jauh lebih selesa kecuali masalah yang satu ini : Stor yang sangat kecil! Kalau rumah lama di Old Trafford punya basement luas (yang membenarkan kami mencampak apa sahaja barang tidak berkenaan di situ), kali ini harus lebih berhati-hati, dan terpaksa bertindak lebih kejam, buang saja jika tidak perlu! (My inner environmentalist hurts so much).

Semester baru, perlu lebih energetik nampaknya.

Adam Haiqal : Welcome to my life!




Dalam kesedihan memang ada kegembiraan, barangkali terselit di mana-mana, cuma tidak kelihatan. Ketika air mata saya menitis laju saat bersalaman dengan sahabat-sahabat di madrasah Imam Shafie khamis lepas, 16 Ogos, saya menerima mesej daripada abang ipar, membawa khabar gembira : Anak saudara saya (yang pertama) telah selamat dilahirkan, setelah seminggu terlambat daripada tarikh jangkaan.

Adam Haiqal bin Wahyu Rezal,

Welcome to this world.
Welcome to our lives.

Cukup setahun inshaallah, sebelum saya mampu mencium pipi Adam Haiqal.

The price to pay.

Lagu ini dan kenangan saya

Ada dua lagu yang jika saya mendengarnya, pasti saya akan teringatkan suasana di Mesir (minta maaf, saya masih dalam mood melankoli). Salah satunya adalah lagu ini, yang entah bagaimana saya temui di Youtube klip videonya. Jangan salahkan saya kerana masih teringat Mesir, lagu ini seakan memanggil kembali semua memori di sana. Rasa-rasanya pertama kali saya mendengar lagu ini adalah ketika jaulah sekitar Kaherah, dipasang dalam kereta. Kali kedua, ketika telinga saya dipaksa mendengar iramanya sayup-sayup sepanjang malam di Rumah Perlis (entah siapalah yang memainkannya tanpa henti!).

Enjoy it.

p.s: Saya diserang demam selsema teruk, padah pertukaran cuaca yang sangat drastik – 37 darjah Celcius di Kaherah, langsung turun ke 17 darjah Celcius di Manchester. Demam rindu juga, mungkin.

You better shut up!

Saya menulis sebelum ini ‘Ilmu adalah apa yang lekat dan terkesan pada peribadi.’ Memang benar. Belajarlah sebanyak mana pun ilmu, tetapi buah yang akan dinilai orang hanyalah amalan dan akhlak. Dan tentunya, hati perlu dijaga – amalan mungkin sudah dilaksanakan, tetapi ada kebarangkalian tidak diterima Allah dek hati yang sarat dengan penyakit riak dan ujub.

Allah s.w.t juga menilai berdasar kepada kriteria yang sama. It is not what you know that count, it is what you do which matters. Dan rupanya, penegasan terhadap kalimat-kalimat ini adalah jawapan kepada persoalan yang sering bermain di fikiran saya: Bagaimana kita boleh memberikan gelaran ulama kepada seseorang? Memang tiada kriteria yang jelas, tidak seperti gelaran mujtahid mahupun tingkat-tingkat dalam keahlian ilmu hadis misalnya. Saya harus bersetuju dengan pandangan ustaz Redzwan dalam muzakarah kami : secara peribadi memang kita akan menyenangi manusia berakhlak terpuji, walaupun kita mungkin boleh mengkagumi keilmuannya, begitu juga gelaran ulama itu, bukan sekadar ilmu yang dilihat, tetapi lebih dari itu.

Bercerita tentang akhlak dan amalan para ulama’, saya sering berasa marah sendiri. Marah dan juga geram dengan golongan yang memperkecil ulama sesuka hati sedangkan mereka tidak tahu kehebatan mereka baik dari segi akhlak mahupun keilmuan . Dan setelah belajar bahasa arab, saya menjadi lebih marah kepada golongan yang sesuka hati memberi tafsiran kepada ayat al-Quran. Hey, kalau al Fatihah yang kamu baca 17 kali sehari (itupun kalau cukup 17 kali) pun tidak kamu fahami maknanya, atau kalaupun difahami, hanyalah berpandukan terjemahan semata, you better shut up your mouth than saying something that you know nothing of. One word in arabic could have a very wide meaning, it is impossible to translate it to just one word in English. Kalaulah huruf ‘ba’ pada pangkal kalimah bismillah pada permulaan surah al-Fatihah itu boleh disyarahkan maksudnya sehari suntuk (malah diriwayatkan bahawa Syeikh Mustafa Bakri, wali terkemuka pada zamannya di Mesir, mensyarahkan huruf ‘ba’ sahaja dalam 1000 majlis ilmu, dan meninggal dunia sebelum sempat berpindah kepada perbincangan lain), maka tanyalah pada diri sendiri setakat mana ilmu yang ada untuk mentafsir al Quran dan mengeluarkan sendiri hukum.

Mempelajari usul fiqh, walaupun pada permulaan semata, cukup untuk menambahkan kegeraman saya kepada golongan yang sesuka hati mengeluarkan hukum, juga memperkecilkan fatwa atau hukum yang dikeluarkan seseorang ulama, lebih berat lagi, seorang mufti. Kalau usul fiqh pun tidak diketahui apa maksudnya, again, you better shut up your mouth. Selagi anda belum tahu dan arif tentang semua hadis ahkam, selagi anda belum kenal apa itu ilmu nasakh dan mansukh, selagi anda tidak mengerti kenapa setiap ayat al Quran itu diturunkan dan untuk situasi apa diwahyukan, selagi belum kenal mesra dengan sifat-sifat semua perawi hadis – you better shut up your mouth. Kalau maqasid syar’iyyah pun anda tak tahu, lebih baik diam. Kita tidak ditaklifkan untuk mengeluarkan hukum, sesuai dengan taraf kita sebagai muqallid. Serahkan kepada golongan yang lebih arif, dan sekalipun mereka tersilap, kita tidak akan diminta untuk bertanggungjawab. Kalaupun ijtihad kita itu betul, tetap mendapat dosa tetapi para ulama’, dengan keilmuan mereka, sekalipun tersalah dalam berijtihad tetap diberi pahala oleh Allah. The absolute truth is only known to Allah.

Cukuplah saya melepaskan geram di sini. Bukan perasaan semata, tetapi inilah antara jawapan yang saya cari untuk sekian banyak kekalutan dan kekeliruan dalam di sekeliling saya.

A few days to go..

Hari-hari terakhir di bumi Mesir, yang setelah hampir dua bulan di sini, menyaksikan saya yang begitu keberatan untuk meninggalkannya. Ya, bukan saya seorang yang berpendapat begini bahkan auntie yang berasal dari Singapura (yang ikut serta dalam jaulah ke Dumyat) juga berperasaan sedemikian. Meski kelam-kabut sistemnya (berbeza 100% dengan UK, sudah tentu) tetapi ada perasaan lain yang mengikat hati saya pada bumi anbiya’ ini.

Tetapi tiket sudah dibeli, dan saya sudah tidak berkemampuan (kewangan tentunya) untuk menukar tarikh kembali ke Manchester. Jadi seharusnya hari-hari terakhir ini saya nikmati sepenuhnya – udara kota Kaherah yang likat dengan debu, angin panas yang menerjah pada kala-kala tertentu, juga terik mentari subsahara – semuanya bakal dikenang. Ya, tempat saya menuntut ilmu dan pengalaman yang tidak sedikit.

Pagi tadi kelas terakhir saya untuk Matan al-Ajrumiyyah di Madrasah Imam Shafie. Ketika ustaz menyebut kelas akan disambung minggu hadapan, terasa mahu menitis air mata : minggu depan pada hari ini, pagi-pagi begini, (kalau masih panjang umur) saya sudah berada di Manchester- beribu batu jauhnya daripada Haiyul ‘Ashir ini- dan mungkin sekali saya masih nyenyak diulit mimpi (7 pagi di Mesir bersamaan 5 pagi di Manchester). Alangkah ruginya saya!

Dan seperti biasa, apabila tiba saat-saat sedih begini, sebagaimana sedihnya saya kerana terpaksa pulang dari Baitul Qura di Sungai Udang, Melaka, tempat saya berkenalan dengan kitab lama bersama Ustaz Zulkifli ketika cuti musim panas yang lalu, saya cuba memujuk diri dengan pujukan yang diberi oleh sahabat saya lama dahulu: Sedikit atau banyak ilmu yang diperolehi itu tidak penting. Yang penting adalah bagaimana yang sedikit itu diamalkan. Itu yang lebih penting. Benar sekali. Seperti kata Ustaz Fuad Amran semasa mengajar kitab favourite saya, Ta’limu al-Mutaallim fi Tariqi at-Ta’lum : Ilmu adalah apa yang lekat dan terkesan pada peribadi. Buahnya ilmu itu terlihat pada amalan dan akhlak. Jadi, esok-esok jika saya masih marah-marah seperti selalu, tolonglah ingatkan bahawa saya sudah belajar syarah Hadis ke-16 Imam Nawawi. Jika saya masih saya yang dahulu, tanpa ada perubahan sedikit pun, ingatkan saya ke mana perginya ilmu yang saya tekuni di bumi ini.

Kelas bahasa arab di Markaz Sibawayh tamat seminggu lalu, setelah 100 jam. Berkesan? Sangat! Memang saya masih belum fasih untuk berkomunikasi dalam bahasa arab, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh menulis, dan boleh memahami sedikit-sebanyak bahasa Arab yang dituturkan – Fusha sahaja. Ditambah lagi dengan kelas bahasa Arab pada malam-malam selasa dan rabu di Rumah Perlis, juga syarah matan Al-Ajrumiyah di madrasah, cukuplah untuk menambah kecintaan saya terhadap bahasa ini, yang disifatkan oleh Imam Shafie r.a., umpama laut. Pernah sekali ustazah Marwah ketawa melihat saya dan menasihati , ‘La taghdibi ya Afni!‘ melihat saya yang seolah marah dengan bahasa arab kerana terlalu luas ilmunya. Bukan saya marahkan sesiapa pada ketika itu, cuma saya sangat kecewa, dan geram dengan diri sendiri: banyak benar perkara yang saya tidak ketahui. Jahil sungguh saya!

Tamat 100 jam kelas bahasa arab, saya menyambung dengan kelas tajwid 40 jam. Cuak juga pada pertama kali disemak bacaan, sudah lama tiada guru yang mendengar bacaan saya sejak tamat sekolah menengah. Di kolej memang ada kelas pengajian Islam, tetapi kerana bacaan al Quran lebih tertumpu kepada hafazan semata, dan ustazah di kolej rasa-rasanya tidak pernah sekali pun membetulkan bacaan (tidak bererti bacaan saya sempurna!). Hasilnya, memang banyak yang perlu diperbetul, baik makhraj mahupun hukum tajwid: dengung yang tidak cukup harakat, juga mad wajib muttasil yang sering dilupakan serta qalqalah yang tidak kedengaran. Memang aneh, dengan kesalahan yang sebanyak itu ustazah masih mengatakan bacaan saya umpama bacaan seorang syeikh (yang saya tidak kenali, mahupun ingat namanya), hingga ustazah menyangka saya pernah berguru dengannya!

Alhamdulillah, kalaupun dua bulan itu tidak cukup untuk saya menghabiskan biarpun satu kitab, sekurang-kurangnya mutiara yang saya cari, yang saya idam-idamkan ketika mula membeli tiket ke sini dahulu sudah saya temui. Sudah ditemui jawapan untuk persoalan-persoalan yang jauh saya bawa merentasi Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean, terima kasih kepada Ustaz Redzwan YDP Rumah Perlis yang bersusah-payah meluangkan masa untuk mengadakan sesi perbincangan, juga kesabaran menjawab persoalan-persoalan yang memaksanya melakukan homework dalam kesibukannya menguruskan itu dan ini. Semoga Allah merahmati. Juga pengajian di madrasah, meski tidak tamat, tetapi sudah membuka pintu, permulaan untuk saya mencari sehingga ke penghujungnya. Semoga keberkatan pada kitab-kitab lama yang baru saya kenali ini memberikan saya lebih kekuatan dan kecintaan kepada ilmuNya.

Dan tentulah, bukan sedikit ilmu yang saya kaut sepanjang saya berjaulah. Terima kasih daun keladi kepada mushrif yang sabar melayan dan menjawab soalan – Ustaz Luthfi. Menjejaki kesan perjuangan Rasul Allah Saidina Musa a.s., terasa semakin terkesan di hati ibrahnya juga tambah meneguhkan lagi ingatan ini : DAKWAH TIDAK BOLEH TERHENTI KERANA TAKUTKAN GOLONGAN YANG MEMPUNYAI AUTORITI. Juga melihat kesan-kesan kekuatan tentera Salahuddin al-ayyubi juga jejak para sahabat, tabi’ dan tabiin yang mengingatkan saya tentang banyak perkara. Menziarahi makam memang seronok, kerana daripada tidak kenal boleh menjadi kenal. Misalnya, satu makam yang memang sangat saya bersyukur kerana dibawa menziarahi adalah makam Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Ashqalani, ulama hadis terkemuka yang mencapai taraf Amirul Mukminin dalam bidang ilmunya itu, penulis syarah Sahih Bukhari. Kenapa tidak, selepas ziarah tersebut saya membaca ‘Ilmu Methodologi Hadis’ dan banyak sekali nama Imam Ibn Hajar disebutkan. Hebat bukan, penghafal sekurang-kurangnya 10 000 hadis berserta sanad, bukankah itu tanda pengguna otak pemberian Allah pada tahap maksimum?

Ada juga sahabat yang menyindir mesra: Asyik berjalan je, bila nak belajarnya?. Aduh!! Memanglah di Friendster saya penuh dengan gambar-gambar ketika jaulah ke sana-sini, tapi itu tak bererti saya asyik berjalan sahaja ya? Atau saya perlu memuatnaikkan gambar ketika di madrasah atau di markaz? Aktiviti berjaulah cuma terhad ketika hujung minggu sahaja setelah penat belajar (konon) – berjalan, melihat, dan mentafsir (dan mungkin kerana banyak berfikir itulah saya cepat sekali berasa lapar dalam perjalanan). Paling manis dan paling terkesan tentulah jaulah ke Sinai – 1400km pergi dan pulang. Juga Fayyoum, melihat kehidupan masyarakat luar kota Kaherah.

Dan tentunya, yang kukuh di hati adalah ukhuwwah yang terbina. Sahabat-sahabat yang baru dikenali, kakak-kakak serumah yang sabar dengan kerenah saya, menemankan ke sana-sini : terima kasih daun keladi. Rumah Perlis menyimpan kenangan yang banyak pastinya, walaupun cuma dua bulan. Bukan senang mahu memasak menggunakan periuk nasi rupanya, perlu kesabaran yang tinggi. Pada saat-saat begitu, saya sangat mensyukuri kebolehan memasak dan dapur besar di rumah sewa saya di Old Trafford dahulu. Tidak sanggup rasanya berlaukkan makanan yang dibeli setiap hari, biar lauk yang dimasak sendiri tidak sesedap mana, tetapi lebih menyelerakan. Simpati saya untuk para suami dan anak-anak yang terpaksa bersabar menelan lauk yang dibeli isteri/ibu di kedai setiap hari. Mangsa tentulah lebih patut dikasihani daripada pemangsa i.e. isteri bukan? (Encik Raudhah Juri yang menjadi lawan bertekak saya dalam isu ini tentu berpuas hati dengan kenyataan ini. Walaupun saya tidak bersetuju bahawa memasak itu adalah tanggungjawab hakiki isteri, tetapi kerana adatnya begitu maka saya tetap bersimpati kepada mangsa keadaan seperti ini).

Juga sahabat-sahabat HEWI PMRAM, yang saya kenali bermula taklimat Madrasah Imam Shafie, langsung ikut serta ke Mansurah berkonvensyen (entah mengapa mendapat layanan VIP, juga turut disebutkan nama oleh presiden dalam ucaptamanya – malu sungguh! Terasa mahu menyorok di bawah kerusi ketika itu)- banyak yang saya pelajari daripada mereka, berkongsi cerita dan kepahitan – mengingatkan saya bahawa jalan perjuangan saya, kalaupun terasa perit adakalanya, masih ramai yang menderita atas sebab yang sama. Tiada keluhan, cuma semangat dan kekuatan yang tumbuh subur untuk terus istiqamah di jalanNya. Semoga Allah mempermudah urusan mereka, terus thabat- dan inshaAllah kalau panjang umur, bertemu lagi di Malaysia. Allah muliakan PMRAM inshaAllah.

Masa ada kurang 96 jam sebelum saya berangkat meninggalkan bumi Mesir ini – semoga saat-saat yang berbaki ini mampu saya gunakan sebaiknya itu mencari mutiara yang masih tertinggal.