Menanti an-Najah.


Hati merungut-rungut.

Usrah ditunda ke esok hari, dan aku dalam ‘bendera merah’, bererti kesuluruhan hari Rabu ini boleh sahaja aku habiskan di Central Library tempat kegemaranku tanpa perlu bergegas ke MYF. Kuliahku hanya satu dan sudah pula dibatalkan.

General Meeting? Mahu ditinggalkan?

Arghh!!

Student Union General Meeting di Council Chamber,bangunan Students’ Union- hampir-hampir sahaja aku terlupa. Tahun kedua di universiti cukup memenatkan. Petang-petang hari rabu menyaksikan aku bergelut dengan PRO/II bersama rakan-rakan sekumpulan. Ada saja pertemuan membincangkan itu dan ini, menyebabkan aku tidak pernah sekali berkesempatan ke General Meeting.

Kali ini?

Kali ini aku ada kerja kursus. Tiga. Dua daripadanya harus kuhantar dalam dua hari yang masih berbaki minggu ini.

Bagaimana? Aku harus juga mengulangkaji sebelum bisa menjawab soalan-soalan itu, kuliah yang tertinggal kerana demam teruk minggu lalu memaksa aku bekerja lebih masa. Hati berkira-kira untuk terus memberi alasan.

-Tetapi General Meeting barangkali akan tamat dalam masa dua jam sahaja, bukan?

-Dua jam sudah cukup untuk aku menyelesaikan kerja kursus Distillation & Absorption.

-Kausudah beberapa kali tertinggal General Meeting.

-Penting sangatkah?

Kelu.

Penting. Memang penting. Hati menjawab sendiri, dalam nada mengalah. Bukan sahaja penting untuk demokrasi, tetapi penting untuk saudara-saudaraku di Palestin.

Perbincangan tamat. 1.15 petang aku mesti bergerak keluar dari St Peter’s Square Central Library, itu keputusannya.

*******************

1.30 petang aku masih di dalam bas 43. Oxford Road pada hari-hari kuliah memang sesak, itu hakikatnya. Di hadapanku seorang lelaki Yahudi; bertopi hitam, berjanggut lebat,lengkap berkot. Seorang wanita muda masuk ke dalam bas, kulihat anak matanya memandang lelaki tersebut dengan pandangan skeptik. Rasis?

Oh, tidak. Rupanya lelaki itu sedang membaca Talmud. Kujeling-jeling tulisan Ibrani terpapar di buku tebal itu, kulihat mulutnya terkumat-kamit membaca. Aduhai, malunya aku. Dia bersama kitab sucinya setiap masa dan aku?

-Aku pun ada juga Al-Quran di dalam beg, cuma saat ini malas untuk mengeluarkannya. Itupun dibawa kerana pelan asalnya untuk mengadakan usrah!

Lelaki itu turun di hadapan Students’ Union, begitu juga aku. Melintas bersama-sama, kufikir dia juga hendak ke Council Chamber, tetapi dia langsung hilang dari pandangan selepas melintasi bangunan itu.

*******************

Perkarangan Students’ Union meriah seperti ada pesta.Bendera Palestin di mana-mana. Aku mencelah masuk ke dalam bangunan, naik ke tingkat atas. Tiba-tiba aku hilang arah dalam bangunan yang baru diubahsuai, lantas hanya mengikut gadis di hadapan. Tiba di muka pintu Council Chamber, aku masuk dalam barisan panjang. ID pelajar di tangan, keperluan asas sebelum diterima masuk ke Council Chamber.

Dan kulihat seorang gadis berskirt pendek, berkemeja T warna biru terang. Sedang berkempen. Di kemeja-Tnya tertulis besar-besar. TERROR. Di atas perkataan itu tertulis dalam font yang lebih kecil warna putih: ‘I don’t fund’.

I don’t fund TERROR.

Oh, baiklah. Saya pun begitu.

Council Chamber memang gelap dan tidak menyelesakan. Ramai yang berdiri, tetapi aku tetap mahu mencari tempat duduk- akhirnya tersandar di sebelah gadis Inggeris. Barisan hadapanku adalah brothers ISOC (kukenal pasti melalui rupa yang sering ditemui di Surau UMIST), dan 4-5 barisan di hadapan mereka adalah sekumpulan gadis-gadis bertudung. Sisters ISOC dan sahabat-sahabat Melayu.

Barisan belakangku bingit dengan perbualan dua-tiga lelaki Inggeris tentang usul pertama pada hari ini.

‘PALESTINE & THE RIGHT TO EDUCATION: Support the right to education and twin with Al-Najah University, Nablus’

Aku tidak senang duduk. Takut-takut tersilap undi kerana tersalah dengar, aku mula mencari-cari kalau-kalau ada kertas Agenda General Meeting berhampiran. Kutanya gadis di sebelahku, dia juga tiada. Tetapi dia hanya dapat memastikan bahawa sekurang-kurangnya ada tiga usul yang akan dibahaskan: Palestine, Home fees for asylum seekers, dan Coke.

Kemudian dia tunduk mengambil kertas di hujung kakinya. Usul hari ini? Dia mengggeleng lantas kembali mahu meletakkannya di atas lantai. Aku ambil kertas putih tiga helai itu.

‘The Manchester Union resolution, ‘Palestine and right to education’ is misguided.’

Oh, kempen menentang usul pertama. Kuangkat kepala, kulihat ada 2-3 lelaki Yahudi bertopi kecil memakai kemeja-T biru, sama seperti yang dipakai gadis di pintu masuk tadi. Jadi terroris yang mereka maksudkan adalah orang-orang Palestin?

‘ Palestinian universities are not just institutions of higher learning. They are also hot beds of radicalism and a recruiting ground for suicide bombers and terrorists.’

Jadi inilah alasan mereka untuk menentang usul pertama ini. Lelaki-lelaki di belakangku masih dalam perbincangan, sekali-sekali gadis di sebelahku mencelah.

Seorang gadis lain dalam sweater merah menjelaskan kepada gadis di sebelahku, usul pertama ini sangat kuat unsur politiknya. Yang Yahudi sudah pasti akan menentang, yang Muslim akan menyokong kuat. Tinggallah mereka yang Kristian yang harus berfikir tanpa dipengaruhi latar belakang, begitu lebih kurang responnya.

Bekas presiden ISOC yang kutahu dan kenal wajahnya, Maadh Al Hadithi naik ke pentas, mengumumkan dirinya sebagai pengerusi. Sebentar tadi Rob Owen, general secretary yang sejak ku di tahun pertama lagi sudah berkhidmat dengan Students Union berdiri memberikan pengumuman, meminta semua duduk dan bertenang.

****

2 petang, sudah seharusnya bermula sekarang, tetapi entah apa masalahnya ada bantahan dari 2-3 individu di sebelah kiri dewan- Maadh terpaksa menangguhkan mesyuarat selama lima minit. Ada bising-bising di sebelah sana, dan gadis di sebelahku merungut : Belum mula mesyuarat lagi sudah bertengkar. Ini akan menjadi kali pertama dan terakhir saya ke General Meeting.

Aku senyum mendengar rungutannya. Memulakan perbualan: Pelajar tahun satu? Dia mengangguk. Jurusan apa? Zoologi. Menarik. Sekolah anda di mana? Bangunan Stopford.

Aku angguk tanda tahu. Bersama pelajar perubatan bukan? Dia menjawab ya, dan bertanyakan soalan yang sama kepadaku. Ada riak terkejut bila kuberitahu jurusanku- respon biasa orang-orang di sini : Kejuruteraan Kimia kedengaran seperti kursus yang sangat sukar bagi mereka.

General Meeting bermula. Usul pertama dibahaskan oleh Nasreen Hunaina, gadis Asia berambut gelap bersadur perang di sana-sini. Gayanya berhujah tidak cukup meyakinkan, tetapi isinya mantap.

Sokonglah usul ini demi menegakkan hak asasi manusia untuk mendapatkan pendidikan. Rakyat Palestin terhalang dari menerima pendidikan secara sempurna. Perjalanan 15km ke kampus yang seharusnya hanya mengambil masa 15 minit, kini memerlukan lebih dua jam untuk disempurnakan, terima kasih kepada checkpoint kawalan tentera Israel. Sampai ke kampus tanpa ada jaminan kuliah akan bermula, kerana bila-bila masa sahaja tentera Israel akan datang mengganggu.

Sayu hati mendengar Nasreen membacakan surat dari pelajar-pelajar Universiti Al-Najah di Nablus. Suara hati saudara seakidahku yang merasakan dunia telah melupakan mereka, mengabaikan hak-hak mereka. Nasreen mengakhiri hujahnya dengan rayuan, berikan sahabat-sahabat kita di Palestin peluang untuk menikmati kehidupan kampus seperti kita. Normal.

Tepukan gemuruh menyambut ayat terakhirnya.

Tetapi hujah balas dari lelaki berkemeja-T biru anti-teroris dipersembahkan dengan gaya lebih mantap. Jari-jemariku menggeletar. Jantung mula berdegup kencang. Cemas. Cemas kalau-kalau hujahnya menyebabkan ramai yang terpengaruh. Umpannya tidak lain, statistik yang menyebutkan 19 orang pelajar universiti itu yang dijulang setelah mengorbankan diri sebagai pengebom berani mati. Kami tidak mahu wang dari poket kami digunakan untuk menyuap teroris. Tidak mahu nama universiti tercemar kerana kolaborasi dengan pusat melahirkan pengganas. Mengumpan lagi dengan cadangan, lebih baik digunakan wang itu untuk memansuhkan lesen TV pelajar. Oh, taktik bijak. Memancing dengan elemen self-interest.

Hatiku semakin gusar mendengar gemuruh tepukan sebaik tamat hujah balas. Memanjatkan doa, moga-moga kali ini nasib saudara-saudaraku terbela. Kuasa di tanganku, dan semua yang berada di dewan ini.

Rob Owen menyampaikan hujah sebagai seconder usul tersebut. Menjawab tuduhan tentang pengebom berani mati, mengakui, tetapi menyatakan sebab : desperation. Mereka terdesak dan tertekan, itu dorongan utama untuk mengorbankan diri. Menekan lagi mengenai hak asasi mereka. Gadis di sebelahku merungut lagi, mengapa tiada siapa memberitahu saya bahawa universiti itu melahirkan pengganas? Nampaknya dia bakal membangkang usul tersebut, telahku.

Samsung SGH D900 berdengung –mesej.

Dari Hasbullah.

Salam. Muslim tlg dtg general meeting student union di oxford road. Bring ur ID along..the Jews bring a lot of people since they lost last time. Spread the words.



Ya, tolonglah terbuka hati untuk datang. Keadaan genting!

Hujah balas dari pihak anti teroris lebih tersusun, tetapi tidak habis menimbulkan elemen lesen TV dan kepentingan pelajar universiti yang lebih baik dipenuhi terlebih dahulu sebelum pihak universiti bersibuk-sibuk membela nasib rakyat Palestin. Bersibuk-sibuk menawarkan tiga biasiswa kepada pelajar Palestin sperti yang diusulkan sebelum memenuhi tuntutan penuntut sendiri.

Oh, Tuhan! Sekali ini bantulah. Aku cuba meredakan kerisauan. Janganlah Universiti Tel Aviv yang dikembarkan dengan Universiti Manchester.

Mengundi. Cepat-cepat mengangkat tangan. Tidak berani memandang keliling. Takut pemandangannya mengecewakan. Gadis di sebelahku tidak menyokong. Lelaki Inggeris di belakang juga tidak mengangkat tangan. Undi dikira, kufikir hampir lima minit tanganku terpaksa bertahan di posisi melenguhkan itu, tetapi hati memujuk, cuma lima minit- sahabat-sahabatku di sana sudah mengorbankan jiwa untuk mempertahankan Islam.

Undi membantah. Sekumpulan Yahudi bertopi kecil di depan sana mengangkat tangan- kempen mereka nampaknya hampir berjaya – tidak sedikit yang mengangkat tangan.

Menunggu lagi lebih 15 minit sebelum keputusan diumumkan.

Lelaki-lelaki di belakangku rupanya memohon extension vote, entah mengapa aku malas bertanya.

Maadh memegang mikrofon. Undi menyokong usul sebanyak tiga ratus lima puluh. Undi membantah dua ratus..belum sempat disudahkan dewan Council Chamber bergema dengan tepukan – motion passed!

Alhamdulillah!

Advertisements

7 comments

  1. I cried in the middle of the entry.
    Very well narrated, love!
    And congratulations!

  2. Thanks. Syukur Allah membuka hati untuk pergi.

    Terus berdoa dan membantu sedaya mampu. Kita masih belum di tahap ‘hopeless’, kan?

  3. peaceful it is, but i could feel the heat.

    p/s: topi kecil yg dimaksudkan dalam entri di atas adalah skullcap.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s