Musafirah – Part 2


Saya yang hanya mampu mengikut arus, akhirnya mengambil keputusan untuk duduk di bangku yang tersusun. Sengaja saya memilih bangku yang tidak berdekatan dengan penunggu-penunggu lain. Membelakangkan kedai menjual beg saya duduk bersendiri, memerhati teksi-teksi yang masuk keluar dari perkarangan parkir tempat menunggu penumpang. Inilah Malaysia! Terdetik dalam hati, entah apa konotasinya. Bangga? Mungkin. Sekilas tadi saya terlihat satu dua pemandu teksi mengangkat barang-barang pelancong Caucasian ke dalam bonet kereta. Malaysia, khususnya bandaraya Melaka ini sudah tentulah menjadi tarikan pelancong. Mungkin juga keluhan tadi berbaur khuatir. Sekeliling saya bukan satu-dua imigran Indonesia. Bukan prejudis, tidak. Bukan juga perkauman. Mereka barangkali Islam, saudara-saudara seagama saya juga. Dari rumpun Nusantara juga bahkan, tetapi salahkah saya untuk berhati-hati dengan mereka? Tidak sedikit kes jenayah yang dikaitkan dengan pendatang dari Indonesia.
Lama saya duduk di situ, sekali-sekala mencapai popiah goreng bekalan Along. Cuba untuk meneruskan pembacaan buku tulisan Hamza Yusuf, tetapi dalam kekalutan seperti ini, saya tidak mampu fokus. Lebih cenderung untuk memerhati. Ya, perhatikanlah! Inilah Malaysia, medan perjuangan saya. Medan pertarungan yang jauh sekali bezanya dengan dunia universiti yang manis-manis, yang indah-indah dengan kawan-kawan sefikrah yang sama daya intelektualnya. Akan terkorbankah saya? Nauzu billah.

Saya bingkas bangun. Menarik beg perlahan, saya mencari-cari papan tanda arah ke tandas. Ramai benar orang, berkerumun di gerai-gerai menjual barang.

Di depan tandas. Beg harus ditinggalkan di luar, biasanya saya memohon jasa baik pemungut bayaran, tetapi kali ini, saya ragu-ragu. Makcik yang menjaga tandas itu tidak kelihatan mesra, tetapi apa salahnya mohon jagakan barang-barang saya?

Saya hadiahkan senyum.Tidak berbalas.
‘Makcik, saya tinggalkan beg saya kat sini ya?’

Tiada respon. Arghh! Susah benarkah untuk menjawab ya atau tidak? Hati sedikit panas dan kesal. Kesal itu lebih mendominasi. Hampir setahun di bumi England, saya banyak belajar tentang kesopanan. Belajar untuk menyebut ‘please’ di setiap akhir permintaan. Tiada apa yang sukar untuk mengucapkan terima kasih pada yang sudi membukakan pintu, apatah lagi untuk membalas senyuman.

Inilah Malaysia! Saya mengeluh lagi. Kalaupun segan untuk patuh kepada Rukun Negara yang menyuruh mengamalkan kesopanan dan kesusilaan, ingat-ingatlah ajaran agama. Bermuka manis kepada orang di sekeliling juga sedekah. Malah senaman yang baik juga untuk muka, ada pula kesannya pada emosi sendiri. Emak seringkali meluahkan rasa kesalnya dengan peniaga-peniaga Melayu. Hendakkan untung, tetapi perasaan pelanggan tidak pernah mahu dijaga. Pelanggan masuk ke kedai, sedikit pun tidak teringin untuk menyapa. Peniaga Cina kata emak, ucapan terima kasih itu tidak pernah lekang.

Tawakal sajalah, saya menggesa diri. Beg tarik saya tinggalkan bersebelahan pintu masuk ke tandas, 4-5 kaki dari meja tempat makcik tersebut mengutip bayaran. Kalaupun hilang, di dalamnya cuma ada baju-baju, saya memujuk hati.

Saya tetap mengucapkan terima kasih kepada makcik penjaga itu, tetap menghadiahkan senyum walaupun dia hanya memandang sekilas. Barangkali dia tidakpun sedar saya letakkan beg berdekatannya. Saya berpusing-pusing di dalam Melaka Sentral yang luas itu, menjenguk-jenguk barang-barang yang dijual meski tiada niat untuk membeli. Kembali mencari tempat duduk, saya mengisi bangku kosong paling hampir dengan tempat pemandu-pemandu teksi berkumpul, dekat dengan televisyen, mudah-mudahan hilanglah kebosanan saya.

Malangnya, tidak. TV hanya menayangkan cerita hitam-putih yang tidak saya kenali pelakonnya. Tidak berminat untuk mengikuti filem itu, saya kembali menelaah, sekali-sekala menulis nota di PDA. Seminit dua berhenti berfikir, tiba-tiba disapa lelaki yang menjaga kaunter, selayaknya saya memanggil pakcik.

‘Kenapa masam je muka adik ni? Macam kena tinggal boyfriend!’
Saya ketawa. Boyfriend pun tak ada, kata saya dalam hati, yang ada hanyalah kawan perempuan yang tidak sampai-sampai lagi!
Dia bertanya kalau-kalau memerlukan teksi, saya geleng, menunggu kawan, jawab saya.
Terus mati di situ perbualan.

Selesai menunaikan solat di surau, Hanee menelefon, bertanyakan kedudukan Melaka Sentral. Hanee sudah terlihat Tesco, tetapi tidak dapat memastikan susur keluar untuk sampai ke Melaka Sentral. . Dengan jalan bertaraf lebuh raya, memang sukar mencari susur keluar, dan ketibaan Hanee di Melaka ini sudah cukup untuk membuatkan saya bersyukur, ini kali pertama Hanee memandu bersendirian di luar Batu Pahat!

Gen-2 warna emas akhirnya tiba, tidak memaksa saya menunggu lama.

‘Tahniah, berjaya juga kau drive sampai ke Melaka!’ , Saya mengusik riang. Hanee sendiri mengaku mempunyai ‘sense of direction’ yang teruk, jadi memandu dari Batu Pahat ke bandar Melaka ini sudah pastilah merupakan pencapaian yang patut saya hargai.

Hanee sengih. Bersalam dan berpelukan seolah lama tidak bertemu, padahal baru tiga minggu kami berpisah di KLIA dahulu.

‘Akhirnya tinggal kita berdua juga. Balik-balik muka ni juga, tak berkembang betul!’ Hanee berjenaka.

Memang, saya membenarkan. Tidak cukup ke hulu ke hilir di Manchester berduaan: ke kelas, pulang ke hall, ke Worldwide membeli ayam halal, sampai di Malaysia masih mahu berkepit juga. Di Manchester, agaknya kerana sudah terbiasa melihat kami begitu, andai Hanee hadir ke satu-satu majlis tanpa saya, penat mulutnya memberi sebab ketiadaan saya. Begitu juga sebaliknya. Cuma akhir-akhir Hanee tidak betah menemankan saya membeli-belah. Seolah ada sumpahan, asal saja keluar bersama saya, mesti kantuk datang menjelma. Sudahnya sekarang, saya senang keluar membeli barang sendirian.

Kereta Gen-2 yang dipandu menyusur keluar ke jalan besar, sebenarnya lebih tepat dipanggil lebuh raya. Destinasi kami, Alor Gajah. Itu bukan destinasi akhir, tetapi itulah arahan Ustaz Md Noor yang bakal menguruskan kami sepanjang seminggu ini.

Saya mengeluarkan CD yang baru dibeli. Jatuh cinta dengan lagu yang dikirim oleh seorang sahabat di Auckland – ‘Bila Waktu Telah Berakhir’ nyanyian Opick, penyanyi dari Indonesia, sepulang ke Malaysia bergegas saya mencari CD penyanyi tersebut. Memang boleh dimuat turun dari internet, tetapi ada kalanya saya rasa bersalah- saya mendapat kebaikan yang tidak sedikit dari nyanyian penyanyi itu, apa salahnya saya mengeluarkan sedikit wang sebagai tanda menghargai?

Nafsu jiwa yang memboncah, menutupi mata hati
Seperti terlupa bahawa nafas kan terhenti

Astaghfirullah, astaghfirullah,
Astaghfirullah al ‘Azim

Enak saya menghayati setiap bait lagu itu, menghela nafas lega sekurang-kurangnya saya sudah bersama-sama Hanee. Sama-sama mencari redha Ilahi. Cukuplah tiga minggu yang melekakan. Saya sendirian di rumah, memang membosankan. Adik-adik diam di asrama, mak dan ayah tidak pulang melainkan apabila hari menjelang petang, saya cuma ditemani majalah dan buku-buku, yang saya biar bertaburan di bilik, juga televisyen. Televisyen bukan objek kegemaran saya, tetapi musim panas ini menyaksikan Piala Dunia berlangsung di Jerman, memaksa saya untuk turut bermalas-malas di depan televisyen. Adik-adik memang kaki televisyen, dan kaki bola juga, dan sepantasnya mereka mengorbankan saluran kegemaran saya – Education kepada Sports menjelang Piala Dunia. Mengamuk besar saya setibanya di rumah, membebel tak henti menyuarakan kekesalan. Mereka tidak endah-Angah bukannya lama di rumah kata mereka.

Bersambung.

Advertisements

7 comments

  1. “Saya yang hanya mampu mengikut arus, akhirnya mengambil keputusan untuk duduk di bangku yang tersusun”

    ayat pertama ini telah membuatkan saya berfikir panjang. ada maksud tersirat yang ingin penulis sampaikan mungkin, mungkin juga tidak. akhirnya saya tersentak, adakah arus yang ingin diikut atau arus yang akan dibentuk?
    erm…
    *Kanak-Kanak*

  2. Its cliche to talk about attitude of fellow Malysian, but I agree with you, even after Readers Digest had listd Malayisan in the bottom three for politeness, in general ppl here havent change, mayb we are livin in denial, but i do find ppl are much more polite in urban area of Penang (ie coastal Penang) eg the salesperson of the shoopingmall saying thank you etc, mayb social class affect our politeness, or maybe we should blame the hot weather 😛 Still it is not an excuse dowh

  3. *kanak-kanak* :

    Saya mungkin tidak memaksudkan begitu, tetapi setelah berfikir sekali lagi, mungkin saya terpaksa akur – subconsciously perangai ‘mengikut arus’itu memang wujud.

    kita yang sewajarnya membentuk arus, tetapi kalau kita lemah dan ragu-ragu (seperti saya dlm posting ini) kita yang akan dibawa arus.

    Hafiz Mz,

    memang cliche, tetapi kerana hal itu tidak pernah berubah maka saya tidak boleh untuk tidak menyebutkannya. Furthermore, that was what I thought at that time.

  4. sorry, didnt mean to be critical, just wanna see yr reaction hehe. Actually, its good that u point that out, i am tired facing that everyday.

  5. huhuh..since when u think that u can’t be critical of what i do and write? u are most welcomed la bang pih 😛

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s