Month: May 2006

#2 Lewat Musim-musim Itu

Musim luruh itu kautemui aku kelabu
Resah dengan arah
Kabut tentang nama
Lalu kauhulur cinta
dengan gugurnya daunan kauluruhkan kabus yang meliputi
bersama puputan bayu kautiupi jiwa nan mati

Lantas pada siapakah lagi harus aku serahkan diri?

Musim sejuk itu kautabur salju rintangan
Tidak memutih tapi tetap mencengkam
Kauuji diri dengan mehnah hidup berjuang,
Kauuji hati dengan nafsu yang tak pernah tenang,

Lantas pada siapakah lagi pantas aku mohon ampunan?

Musim bunga itu kauhamparkan aku kisah pencintamu
Kaupertemu aku kembang indah ukhuwah
Kauajari aku harum mekar mawaddah
Kaubenihkan rindu untuk syahid di batas juangmu

Lantas pada siapakah lagi wajar kuhulur syukurku ini?

dan pasti
lewat mentari yang membakar nanti
bakal kauhidang cinta dan derita
bakal kuharung lembah asalnya

Lantas pada siapakah harus aku rafakkan doa?

Joule Library
May 12,2006.

Ada apa dengan York?

Ada apa dengan York?

Tidak mungkin saya akan menjelajah York sekiranya:

  1. Saya tidak melihat foto-foto menarik rakan-rakan saya dari Nottingham yang lebih awal sampai di sana,
  2. Saya tidak diajak Kak Sarah dan rakan-rakan,
  3. Cadangan asal untuk ke Stratford-upon-Avon tidak dibatalkan,
  4. Saya tidak pernah mendengar mengenai Yorkshire pudding.

Dan cuti Easter ini (dalam tengah-tengah ribut malas yang bercampur-aduk dengan arus kesedaran) akhirnya sampai juga saya ke York.

Berpagi-pagi saya khamis itu menyediakan pasta goreng juadah piknik. Tren dijangka berlepas jam 7.50 pagi, jadi seawal 7.20 saya dan Hanee sudah bergerak ke Piccadily. Bergerak dalam erti kata berjalan, kerana Piccadily cuma 10 minit dari hall. Saya tidak dapat mengingati apa yang kami bincangkan dalam perjalanan, tapi sungguh saya tak terfikir how beautiful a place my destination would be.

Sampai di Piccadily, Hakimah a.k.a kim kim sudah tersengih lebar menanti kami bersama kak Sarah. Kemudian Nida tiba, clad in a white summer skirt (cantik sungguh skirtmu itu!) mencukupkan korum: Kak Sarah, saya, Hanee, Hakimah, Aidah dan Nida. Tangan saya memang sudah tidak boleh ditahan-tahan untuk merakamkan foto. My favourites are scenery and of course, candid pic (dan pastinya kak Sarah menjadi mangsa utama..sorry dear..the more you say no, the more inclined I would be to take your pic..hehe).

Perjalanan, menurut Kak Sarah sepatutnya dalam lingkungan dua jam, dan belum sampai 30 minit saya di dalam tren sakit kepala mula menyerang. Mungkin bahana perut yang tidak cukup penuh (saya cuma menjamah semangkuk cereal, which is, of course not enough for a tummy like mine) maka terpaksalah Hakimah mengorbankan sandwiches yang disediakan untuk piknik nanti. Sempat jugalah saya menelan sebutir painkiller. Tidak terfikir langsung ini adalah gejala migraine sehinggalah kak Sarah menyebutkannya, kerana memang kerap saya sakit kepala sekarang, lebih-lebih lagi bila keluar berjalan-jalan melihat alam. Dan terpaksalah saya bersungguh-sungguh melawan sakit kepala, bimbang menghancurkan harapan saya untuk menikmati York sepenuh hati.

Dua jam memang jangka masa yang lama (lebih lama dirasakan dengan sakit kepala yang datang bertandang), dan pemandangan di luar hanyalah pemandangan tipikal England yang sudah kerap saya lihat. Tetapi menjelang musim bunga, padang-padang rumput yang saujana mata memandang memang nampak lebih indah menghijau. Saya teringin benar untuk baring-baring di tanah lapang sebegitu, tetapi masih belum berkesempatan. Setelah dihalang untuk membaca TIME mahupun bermain Solitaire (untuk mengelakkan sakit kepala) maka saya tidak mempunyai kerja lain selain menyakat manusia-manusia yang berada di sekeliling.

Akhirnya sampai juga di York, alhamdulillah.

Arahtuju kami tentulah tourist information, mengutip seberapa banyak pamphlet yang berkaitan. Dan bermulalah penjelajahan singkat kami di York. Sungguh York memang menarik, penuh dengan taman-taman indah. Sebentar-sebentar kami singgah bergambar di taman-taman bunga (this is a girls’ trip, I remind you). Subhanallah! Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Bunga-bunga yang indah berwarna-warni itulah yang memberikan sedikit ketenangan pada hati (dan inilah alas an saya kepada Hanee yang tidak mampu memahami mengapa saya perlu memenuhkan vase di meja study saya dengan bunga hidup setiap bulan).

Kami menyeberangi Sungai Ouse, yang menurut sejarah merupakan salah satu pelabuhan besar yang menjadikan York pusat perniagaan terkemuka suatu ketika dulu. Kami boleh saja menyusuri sungai tersebut menaiki bot, tetapi menurut Kak Sarah, tiada apa yang menarik dengan sepanjang sungai tersebut, jadi kami terus sahaja menuju ke York Minster. Belum sampai ke York Minster, kami menyimpang ke York Museum & Garden, sekadar duduk-duduk menikmat musim bunga yang baru hendak bermula. Terasa segar disinar matahari yang lama berselindung sepanjang musim sejuk. Segar juga melihat pemandangan indah di York Garden yang dijaga rapi. Teringat lagi saya pada bait lagu Nowseeheart:
‘Keindahan alam adalah bayangan
Pada syurga yang lebih kehebatannya’
Andai taman-taman di dunia sudah secantik ini, bagaimana pula di syurga sana?

York memang unik. Terasa amat perbezaannya dengan Manchester. Manchester sebagai Bandar industri (in fact, it was where the industrial revolution began) sudah tentu tidak kalah dari satu segi yang lain, tetapi York menyajikan pemandangan yang berbeza sebagai sebuah kota lama. Menurut sumber yang saya temui , York pada suatu masa yang lampau merupakan ‘capital of north England’. Bermula sebagai satu kubu (fort) yang dibina tanggal AD71 oleh orang-orang Rom sebagai pertahanan daripada ‘Brigantes tribe’. York berkembang pesat dan dikenali sebagai Eboracum. Di sinilah Constantine the great yang mengasaskan Constantinople ditabalkan sebagai Roman Emperor pada AD306.Nama York ini diberi oleh orang-orang Viking yang banyak meninggalkan kesannya di kota ini.

Kami singgah di sebuah kedai antik. Sekadar melihat-lihat, dan pada saya tiada satu pun yang menarik perhatian (kalau ada pun tidak mungkin saya mampu membeli) sehinggalah saya tiba di bahagian buku-buku lama. Terlihat buku bertajuk kisah seribu satu malam, sempat pula menyelak-nyelak.. dan harga buku buruk berkulit hijau pudar itu mencecah £83!

Terus berjalan sehinggalah kami temui York Minster. Minster adalah perkataan lama yang bermaksud a centre of Christian teaching or ministering., juga berfungsi sebagai cathedral. Dan memang bangunan ini amat besar, unik, dan tentunya dipenuhi pelancong. Kami berhenti di tugu berhadapan York Minster, menikmati sandwich dan pasta pedas (maaf semua, kalau-kalau ada yang panas perut kerana pasta saya tu!) sambil berfikir sinis : Cathedral sebesar ini masih ada lagikah yang mengunjungi? Dan rasanya persoalan itu terkena batang hidung sendiri: mengata dulang paku serpih- masjid-masjid indah di Malaysia itu adakah orang yang memakmurkannya? Berapa saf sangatlah yang penuh sewaktu solat lima waktu?
Sambil mulut saya tidak habis memuji Allah atas keindahan yang dilihat, kak Sarah mencelah : ‘Afni, you have seen nothing yet. Wait’. Dan saya menanti sehingga sampai kami di Shambles.
Shambles memang sewajarnya di’highlight’kan jika anda ke York. Benar kata Kak Sarah, this is the best part of York. Kalaupun anda tidak berniat utk membeli-belah, beri peluang pada mata. Jalan-jalan sempit dan kedai-kedai comel di kiri-kanan, juga bangunan yang senget-benget sungguh nampak antik..dan mengingatkan saya pada filem Harry Potter. Sempat masuk di satu-dua kedai, bergambar dan membeli sedikit cenderahati. Terus ke open market dan singgah menikmati crepe di tepi jalan yang lelaki penjualnya ada iras-iras pensyarah Termodinamik saya Mike Doby (mengapa mesti saya menyebutkan ini?).

Kami berjalan-jalan lagi, dan setelah membatalkan niat untuk mengunjungi York Dungeon (advancer ala-ala rumah hantu, sejarah keganasan di Britain: 18SG definitely) maka kami singgah di sebuah tea room. Comel, tapi agak tersorok. Kata Hanee, bila lagi nak merasa santai-santai English-style. Di Manchester tidak pernah pula saya ternampak tea rooms. Yang ada hanya bar-bar. Dan sekali lagi painkiller terpaksa saya telan bersama teh lemon..sakit kepala menyerang lagi!
Usai istirahat kami bergerak ke pesisir sungai, sempat melewati kubu besar di atas bukit yang saya tidak pasti namanya, duduk-duduk di tepi muzium Castle Folk.

Destinasi seterusnya adalah Designer Outlet. Tetapi kerana Kak Sarah sudah kepenatan dan berniat untuk pulang awal, kami berpecah dua- Hanee & Hakimah pulang bersama kak Sarah; saya, Nida & Aidah terus ke Designer Outlet. Kami menyusuri City Walls yang dibina mengelilingi kota lama itu sejauh 3 batu. Asasnya dibina oleh orang-orang Rom dan raja-raja Anglo-Danish di York, diperkukuh oleh Normans pada zaman pemerintahannya. Masih terjaga rapi. Dan berjaya kami jelajahi sehingga sampai kembali ke stesen keretapi, tempat kami berpecah. Di Designer Outlet memang tiada apa yang menarik untuk dikisahkan, melainkan kedai Body Shopnya yang menjual barang-barang dengan separuh harga.

Berangkat pulang hampir jam 5 petang : kepenatan tapi tanpa kekesalan meninggalkan meja stadi sehari suntuk biar terpaksa menelan tiga biji painkiller – York memang menarik & refreshing , dan kalau ditanya ada apa dengan York – jawabnya : ada seribu satu keunikan dan keindahan!
for more pics..pls go to my fotopages